11/26/15

Cerpen : Mahu Kurus!

[CERPEN]

Hari itu, kebetulan aku lambat. Terkejar-kejar aku ke kuliah. Walau tidak ada anjing yang mengejar, entah mengapa aku benar-benar rasa bersalah apabila masuk ke dewan kuliah lewat. Barangkali penangan ceramah ustaz di surau semalam yang berbicara soal rakyat Jepun yang tidak beriman dengan Surah Al-‘Asr dalam kehidupan mereka, namun disiplin tatacara hidup mereka dengan masa sangat hebat.

Terngiang-ngiang lagi soalan ustaz semalam yang berjaya menekan leper sel otak aku dengan nada provokasi, ”Agaknya, kalau kita mahu mengajak rakyat Jepun kepada Islam, apakah tawaran Islam kepada mereka? Menepati masa?”

Persoalan itu itu buat aku malu dengan kelemahan diri sendiri.

Namun, aku kira hari itu memang hari malang aku. Setibanya aku di hadapan lif, aku terus terkam semahunya, seakan ‘Tom’ terkam menangkap ‘Jerry’.

Tetapi, nyata langkah pertama aku sudah ada petanda malang. Aku tersekat di pintu lif. Entah bagaimana perkara memalukan seperti itu boleh terjadi. Bahkan, yang terlekat bukan di bahagian kaki, tetapi perut. Alahai, betapa malunya aku.

Andai ada baldi di situ, ingin saja aku telangkupkan terus di atas kepala, supaya orang yang berada dalam lif itu tidak kenal siapa aku.

Lalu, aku ditarik masuk ke dalam lif tersebut oleh orang ramai, dan yang berada dekat dengan punat butang lif itu, menekan tidak henti-henti utang untuk membukakan pintu. Sungguh sadis. Rasa macam mahu berderai menangis di situ.

Setelah dapat saja masuk ke dalam lif itu, rupa-rupanya, lif itu memang sudah penuh. Tambah-tambah kalau aku yang masuk, maka habislah orang lain terpenyek dek aku.
Aku keluar membawa lara dan tunggu semula lif lain di sebelahnya.

Tidak mengapa, aku tawakkal sahaja pada Allah. Dalam keadaan aku yang begini, aku tidak sanggup memilih untuk naik tangga, terlalu tinggi untuk aku. Boleh 'mandi' besar aku bila dah sampai atas nanti.

Lebih kurang dua minit, lif sampai.

“Tinggg...”

Aku terus secara spontan, mendengus lega, ‘Alhamdulillah, lega akhirnya...’

Dalam lif itu, ada dua orang lagi. Aku syak mereka berdua ini pelajar perubatan. Dengan muka skema sebegini, pelajar apa lagi kalau bukan perubatan.

Mula sahaja lif itu menaik, dua orang rakan sejoli itu mulakan buah bicara mereka.

“Eh, macam mana nak kenal fatty change liver yang dalam kelas museum jars semalam, aku dah lupa...”

“Ah, mudah saja, kan semalam doktor dah ajar. Kau hanya perlu ingat, kalau kau nampak liver tu warna kuning, dan saiznya besar, itulah fatty change of liver.”

“Cut surface pula macam mana?”

“Oh  ya tak ya juga. Mudah saja, doktor cakap semlam, kau bayangkan sahaja orang yang gemuk macam mana, kalau kau tak gemuk, kau bayangkan orang lain yang badannya gemuk. Bayangkan pusat mereka. Sifatnya serupa saja seperti itu. Borders dia sah-sah rounded, cut surface pula tertonjol keluar.”

“Tinggg...”

Lif berbunyi, petanda sampai kepada destinasi dua pelajar perubatan itu. Mereka keluar sambil sambung perbualan mereka tersebut.

Aku tidak faham sepatah pun apa yang mereka bincangkan, kecuali hanya satu perkataan, GEMUK.

Perkataan itu benar-benar bahaya untuk diri aku. Lima huruf itu bisa buat darah dari kiri jantung keluar meluru laju tersebar ke seluruh pelosok badan. Tidak semena-semena muka jadi merah, telinga jadi panas bak belanga goreng keropok losong.

Tidak aku sedar sejak bila aku benar-benar sensitif dengan perkataan itu, tahu-tahu sudah begini. Mudah terasa. Boleh jadi juga, ini semua kerja syaitan durjana.

‘Cis!’



Di Pantulan.

Setelah sampai semula di rumah, aku melihat cermin, ternyata tiada apa yang berubah. Mahu menangis, tetapi aku sudah tidak terdaya, selalu sangat menangis di hadapan cermin, seperti sudah jadi tabiat. Mungkin juga kelenjar lakrimal pun sudah kering dan merajuk tidak mahu keluarkan air mata.

Aku renung lagi cermin.

Muka masih bulat, terlampau tembam.

Leher masih pendek, berlipat dek lemak.

Tangan jadi besar, tetapi bukannya besar gagah berketul-ketul seperti ahli bina badan nombor satu dunia, Phil Heath. Apatah lagi seperti penyandang Mr. Universe Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia ke- 61 di Jeju, Dato' Sazali Samad. Tetapi hanya lemau berlemak seperti Fei Mou yang suka mengangkat-angkat bahu.

Sedih nan sayu.

Apabila diraba perut, usahlah dicerita lagi, lemak ada di mana-mana, tertonjol keluar tanpa dipinta. Sekali ditepuk, bergelombang tsunami jadinya.

Apa yang sentiasa di minda hanya, mahu kurus, mahu kurus, mahu kurus. Tetapi bertindaknya entah bila.

Terlintas juga mahu berputus asa dalam hidup. Mahu saja aku terjun dari bagunan tinggi enam puluh enam tingkat. Tetapi, ternyata aku terlupa, bahawa aku ini seorang yang cepat gayat. Tingkat dua pun sudah menjerit-jerit bila tengok ke bawah, apatah lagi tingkat enam puluh enam.

Pipi pauh di layang aku ditampar sayu, “Ah, mimpi!”


Andai badanku seperti ini...
Andai badanku seperti ini...



Keluarga.

Keluarga adalah sumber kekuatan terbesar bagi seseorang. Apa tidaknya, ibu ayah pastinya ada nilai penting dalam hidup kita dan yang paling rapat dengan kita.

Namun, bagi aku itu hanya kisah dongengan.

Bagaimana mungkin aku percaya semua itu?

Sedang aku hidup sendirian sejak aku berumur dua tahun lagi. Ya, sejak berumur dua tahun.

Di dunia ini, yang aku ada hanya ibu angkat dan ayah angkat. Bahkan itu pun kerana mereka warden di rumah anak yatim. Aduhai. Syukur sajalah seadanya.

Kerana itu, hidup aku sentiasa diseligar stress.

Stress dan stress. Tekanan yang tak pernah aku kira berhenti walau sejenak. Ada saja yang terus menerus menerkam aku.

Makanya, kalaulah orang bertanyakan apa yang menyebabkan aku stress, aku rasakan ini jawapan paling terbaik, “Jalan hidup kita berbeza. Kau lain, aku lain. Kalau nak tahu juga, masuk dalam kasut aku, dan kau rasakan sendiri peri pedihnya memijak kaca dan duri  dalam kasut aku ini!”



Saat Stress.

Kondisi bagi orang yang menghadapi stress berbeza-beza. Ada orang, ketika sedih dan stress, mereka akan lepaskan geram kepada orang lain, marah orang lain, tengking orang lain, sepak terajang habis barang-barang atau hamburkan amarah di laman sosial.

Ada pula yang pergi beli belah, lepak-lepak, tengok wayang, main bola, main badminton dan main games.

Tak kurang juga, ada yang mengekspresikan wajah stress mereka dengan menulis atau meredakannya dengan menghadiri majilis-majlis ilmu untuk duduk bersama para ilmuwan.  

Ada pula dengan melampias stress dengan membaca buku sebanyak-banyaknya.

Tetapi, aku punya tabiat lain. Aku akan makan dan makan sepuas-puasnya, kerana aku fikir dengan jalan begitu, tidak mengganggu orang lain dan tidak merosakkan perasaan luhur orang sekeliling. Tak perlu berjalan jauh ke sana ke mari. Tak payah banyak keluarkan tenaga dan duit.

Maklumlah, kehidupan dunia sekarang, mahu bermain pun kena bayar itu dan ini. Tidak semudah permainan-permainan di kampung semasa aku kecil.

Dari kecil hingga sekarang, itulah penawar stress aku, makan!

Namun, tanpa aku sedari, tabiat ini juga memakan diri sendiri.

Apabila mula berdiri di atas penimbang, maka mulalah aku jadi malu sendiri.
Akhirnya, kembali stress!

Hingga aku lupa, apa guna iman di dada, kalau hanya diikrar di lisan sahaja? Sia-sia.

Sia-sia hidup. Sia-sia jerih payah dan termengah-mengah aku berjalan ke sana ke mari dengan berat 180 kilogram aku pergi menuntut ilmu.

Lupa pula aku pada sabda Nabi.

Allah tak pernah memandang rupa paras, gemuk kurus, tinggi pendek. Tetapi, memandang lebih daripada semua itu. Hati, Iman dan taqwa lebih menjadi penentu.





Cari Kekuatan.

Dahulu aku punya seorang senior di sekolah. Pada dialah tempat aku bermanja mesra dan meluah isi hati yang terpendam. Aku panggil dia, Abang Khalid.

Peribadinya luhur. Tutur kalam ilmu agamanya, seiring dengan amal. Akademiknya usah dibicara, tibanya hari anugerah cemerlang, dialah penggondol anugerah paling banyak setiap tahun. Bahkan, dia bukan jenis yang berkeyakinan rendah menyorokkan diri, tetapi berusaha sepenuh hati dan dengan penuh keazaman yakin diri menyertai pelbagai acara. Dia bijak menggali kebolehan diri untuk dimanfaatkan kepada orang lain.

Namun, aku menyukainya kerana kami ada satu persamaan yang orang lain belum tentu sama. Dia juga anak yatim sepertiku, membesar hanya di rumah anak yatim, tidak tahu erti belai sayang ayah ibu. Tetapi, yang lebih penting, kami sama saiz, sama-sama ‘besar’.

Dahulu, dialah yang selalu mendampingi aku. Yang selalu sahaja kena dalam meneka hatiku, tatkala hatiku resah gelisah diulit masalah. Tidak kira apa kondisi dirinya, dia kan sentiasa cuba membantu aku seadanya. Padahal, aku tidak punya apa-apa pertalian darah dengannya.

Tetapi, kali ini dia tampil penuh berbeza!

Aku juga hampir keliru. Seakan tidak percaya, ini Abang Khalid yang aku kenal dahulu.
Aku bertanya kepada dia, “Apa rahsia abang jadi tegap gagah badan berketul-ketul seperti ini? Padahal, abang dulu lagi gemuk daripada saya.”

Abang itu melirik simpulan senyum.

“Azam, bertindak dan berdisiplin. InsyaAllah Allah tidak menghampakan hamba-Nya yang berusaha.” Ringkas Khalid menjawab.

Aku tercengang, jeda seketika.

Abang Khalid kembali menambah, “Kamu jangan lupa, hidup kita sebagai seorang Muslim dan Mukmin ini, mesti tidak dapat tidak, perlu berusaha sedaya mungkin untuk jadikan hidup kita lebih baik daripada semalam.

Kalau sekarang kita gemuk, takkan selamanya kita mahu gedempol? 

Kita perlu bergerak ke arah yang lebih sihat dan kuat. Percayalah, kita punya kuasa untuk memilih!

Fikirkan, kalau kita masih di takuk lama, tidak mahu berubah untuk kurangkan berat badan, berderu penyakit-penyakit yang kita boleh hidapi, dan kita perlu ketahui yang penjagaan kesihatan itu bermula dengan usaha kita menurunkan berat badan.”

Dengan nada tiada harapan aku menjawab, “Tapi abang, saya dah tak berdaya lagi rasanya, sudah pasrah, redha sajalah. Kalau saya kuruskan berat pun mati, kalau tak kurangkan berat pun akan mati juga nanti.”

Dia lantas menjawab, “Jangan begitu. Ya, kamu kena redha dengan ujian ini. Selagi kita hidup, kita kena usaha dan sabar untuk tempuh ujian ini. Usaha kena betul merujuk pakar dan tak boleh separuh-separuh, kena jitu! Menyerah kalah bukan sifat sabar yang sebenar. Sabar adalah menerima qada’ Allah dan pada masa yang sama berusaha agar Allah memberikan kesembuhan dalam segala permasalahan yang kita hadapi.

Laksana kata HAMKA, ikhtiar dan taqdir itu, apabila bertemu, maka yang terhasil itulah rahmat daripada Allah Ta’ala.

Letakkan matlamat kamu. Rujuk pakar seperti para doktor sebelum bertindak dan rancanglah sebaiknya.”

“Tetapi, selepas berjaya, macam mana pula mahu kekalkan?” Pantas aku mencelah.
Abang Khalid seakan berfikir sejenak, lalu terus bersuara, “Kamu ada iman?”

Kepala aku tanpa sedar, mengangguk-angguk, tanda setuju dari hati.

“Iman yang telah subur dibina, tidak mampu bertahan selamanya, tetapi perlu dipelihara sebaiknya. Iman itu ada kala menjalar tinggi, ada kala menggelongsor jatuh tersungkur menjunam ke bawah. Kerana itu, iman sangat sukar dijaga.”

Dengan nada hairan aku menyoal kembali, “Apa kaitan pula dengan iman ni, abang?”
Jawapan daripadanya meluru laju dari mulutnya, “Ada kaitannya. Sebagaimana iman perlu sentiasa dijaga agar terus sentiasa menjalar tinggi, badan yang kita juga seperti itu. Kalau sudah dapat kesihatan, berat dan bentuk badan yang ideal, maka apa yang perlu dibuat ialah pelihara sebaiknya. Makanan yang banyak masuk perlulah seimbang dengan pengeluaran tenaga yang kita keluarkan. Letak diri kita dalam kalangan insan yang cakna soal kesihatan dan aktif menjaga badan. Kalau tidak, kemungkinan besar obesiti akan kembali menokak leher kamu.”

Panjang pula celoteh Abang Khalid kali ini. Aku jadi berfikir panjang.

Melihat saya melengung panjang, Abang Khalid kembali mencelah,“Kamu tahu manusia kedua yang pernah dicatatkan dalam sejarah dunia manusia paling gemuk dan paling berat? Dia juga seorang muslim, seorang marhaen Arab Saudi, namanya Khalid Bin Mohsen Shaeri . Dia pernah mencapai 610 kilogram berat badan. Padahal, umur baru awal 20-an saja, sebaya kita.”

Ada saja cerita yang menarik daripada dia, aku tiba-tiba rasa teruja, “Oh, bagaimana keadaannya sekarang?”

Terus dia menjawab, “Dia sangat bernasib baik. Setelah tidak mampu meninggalkan biliknya selama dua tahun setengah, akhirnya dengan arahan Raja Arab Saudi iaitu Raja Abdullah, Khalid berjaya dialihkan dan diterbangkan oleh Royal Saudi Air force dari bahagian selatan Bandar Jazan ke King Fahd Medical City (KFMC) di Riyadh. Hasilnya, setelah dibedah dan dirawat selama empat bulan, dia berjaya turunkan berat badannya daripada 610 kg kepada 290 kg. Satu rekod yang membanggakan. Jika dahulu, dia perlukan tiga katil untuk tidur, tetapi sekarang dia hanya tidur cukup  dengan satu katil sahaja.”

Melopong juga aku dengar kisah itu. “Wah, beruntungnya dia…”

Sambil senyum, Abang Khalid membidas, “No pain, no gain.”



Bertindak!

kartun gemuk kurus fat and thin guy
Bukanlah aku tidak pernah bercadang mahu berubah. Tetapi mungkin aku terlalu banyak berikan dalih dan alasan sebelum ini untuk bertindak.

Mungkin aku lupa, kebanyakan jurnal yang aku teliti, penurunan berat badan mampu mengurangkan kebarangkalian kematian pramatang (mati muda). Malah, bukan itu sahaja, dengan menurunkan berat badan juga dapat mengurangkan kemungkinan untuk dilakukan pembedahan jantung. Sekaligus, dapat hidup dengan lebih selesa, pernafasan jadi bertambah mudah dan yang paling penting dapat melakukan amal ibadah kepada Allah Ta’ala dengan penuh rasa selesa dan tidak menyiksakan.

Syukur, perbualan aku bersama Abang Khalid hari itu, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan pegangan hidup untuk mulakan perubahan dalam diri aku ke arah yang lebih baik. Ya, tidak semua orang faham perit pedihnya mahu merubah menjadi kurus ini. Tetapi, dalam kondisi aku yang sebegini, dia juga yang menjadi contoh teladan padaku.

Aku mulakan sedikit demi sedikit. Tidak tamak dan gopoh menggapai matlamat, takut-takut hilang kawalan dan terus berputus asa.

Yang penting, walau apa saja yang terjadi pada esok hari, pastikan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Usaha walau tidak sebanyak mana, insyaAllah pasti ada ganjarannya.

Seperti jalan juang lain, kalau kita lelah dan rebah, jangan putus asa. Bangun, rawat dan teruskan perubahan. Terus gencar merubah payah.

Tiada kejayaan yang tidak disulam kepayahan.

Aku mahu kurus!


Muhammad Iqbal 
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
0423
201114

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter