11/26/15

Cerpen : Dia Bukan Malaikat

[Cerpen]

Angin laju menderu. Menerobos celah-celah pintu kaca yang terbuka. Awalnya nyaman, setelah berterusan, nyata buat tubuh menggigil.

Kepala Usama dihala jauh keluar pintu kaca, didongak ke atas. Ada awan-gemawan hitam menawar teduh. Belahan hati Usama berbunga, 'Musim dingin kunjung tiba. Syukur Tuhan!'.

Musim panas daripada Allah. Musim dingin yang menjengah ini pun juga daripada Allah. Musim apa sekali pun, semua daripada Allah. Ada yang dapat manfaat, ada yang menunggu hikmat. Syukur seadanya.

Dingin bilik disapa kejutan. Pintu tiba-tiba dihempas kuat. Gunawan masuk, namun tanpa suara.

Dia duduk. Dipekup mukanya pada meja. Tiada sebarang tangisan, yang ada cuma dengusan. Bernafas dalam resah.

Selepas beberapa ketika, Gunawan membuka mushaf. Dibacanya Surah al-Hujurat. Mungkin mahu mendamai hati. Usama tumpang dengar sayu bacaannya. Surah pendek yang punya mesej besar dalam mengharung mehnah akhir zaman ini.

Usama tetap menyepi, memberi sahabatnya ruang. Dia tahu pasti ada yang tidak kena. Pasti ada yang terluka.

Gunawan baca hingga ayat ke lapan belas yang terakhir. Seraya, dia palingkan wajahnya pada Usama, dia ucap perlahan dia bersuara,"Dia tak respon kata maaf aku..."

Usama mendekatinya, lalu ditepuk belai belakangnya, "Tak mengapa, tugas kau sudah selesai. Tak semua orang mampu buat seperti yang kau buat. Meluntur ego, merendah diri, memohon maaf pada orang lain. Tak semua orang mampu, Wan."

Titis jantan Gunawan hampir jatuh, "Tapi macam mana kalau dia tidak maafkan aku?"

Usama melabuh punggung di sisi Gunawan, terus menawar nasihat, "Tak mengapa, Allah bersamamu, sahabat. Aku ada bersamamu. Inilah kehidupan. Rencah biasa dalam berukhuwwah."

Kali ini matanya tampak benar-benar merah. Titis-titis air dari matanya, melimpah semahunya.

Usama menambah, "Dasar hubungan sesama kita ialah Ukhuwwah Islamiyyah, sama-sama menuju Allah, semuanya kerana Dia.

Bukan kerana dia punya kelebihan yang menguntungkan kita. Bukan juga dia ada harta yang boleh ditumpang rasa. Kalau itu menjadi asbabnya, maka ukhuwwah itu telah salah terbina. Bahkan tidak akan kekal selamanya. Hilangnya tujuan berhubungan itu, maka hilanglah segalanya. Hanya sia-sia, tiada apa tersisa. Rugi sahaja.

Kalau benar tujuannya sama dengan kita, berukhuwwah kerana Dia, maka dia tidak akan berpatah pada ego diri, tetapi terus pada Allah.

Dengan kembalinya pada Allah kita dapati kita serba kurang tiada apa, hanya merugi kalau berpecah lama. Lalu, garis-garis pecahan lama itu, boleh kembali dijahit kembali dengan benang kasih sayang yang telah tersemai jauh di gaung hati."

Usama peluk erat Gunawan, menawar teduh sahabat gelisah.

"Sabar ya sahabat, kau tidak berseorang, Allah ada bersamamu", Belai kata Usama.

Dia menambah lagi, "Kau baca Surah Al-Hujurat tadi, bukan?"
Gunawan mengangguk lesu.

"Kau tahu maksud 'ikhwah' dalam ayat ke sepuluh itu?"
Gunawan tidak menambah kata, menggeleng sahaja.


Bersambung.

Sambungannya kalian boleh baca dalam buku #DiaBukanMalaikat.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2345
251114

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter