11/27/15

Betapa Beruntung Dia...

'Betapa beruntungnya dia...'

Kala menyelak-nyelak mushaf al-Quran milik sendiri, kadang saya terkerising seorangan.
Dalam peta fikiran jarak jauh, berganjak ke alam barzakh, melompat ke alam akhirat, betapa saya fikir dia beruntung. Betapa juga saya cemburu dengannya.

Semasa awal tahun kedua saya di Mesir, naqib saya ketika tahun satu menghadiahkan saya senaskhah al-Quran terjemahan.

Di sebabkan saya tidak pulang ke Malaysia pada tahun satu, jadi saya minta pertolongan naqib saya itu untuk belikan senaskhah al-Quran terjemahan yang semisal miliknya.

Semuanya gara-gara saya begitu tertarik dengan mushaf terjemahan miliknya setiap kali sesi bacaan al-Quran ketika. Bahasa terjemahannya lebih enak dibaca, mudah difahami, bahkan kebanyakannya tatabahasa bahasa Melayu tepat pula penggunaannya. Paling saya tertarik, pada setiap muka suratnya pula ada dipetik beberapa perkataan arab yang ada sedikit penerangan maksudnya dan dikait juga dengan perkataan yang sama daripada surah lain.

Setelah dia pulang semula ke Mesir, terus dia berikan pada saya, siap dengan tanda harga daripada kedai buku SMO masih terlekat. Walaupun berlain sedikit dengan al-Quran miliknya, tetapi isi terjemahannya sama sahaja.

Apabila saya mahu bayar, dia menolak dengan baik dan berkata, "Takpa, aku hadiah kat hang." Dengan muka paling innocent yang dia ada ;)

Setiap kali saya membacanya, mentadabbur isinya, mengetahui mufradat-mufradat baharu, menghafaznya, bukan pahala itu milik saya seorang, bahkan mudah-mudah sahaja pahala itu masuk juga ke akaun akhirat milik si pemberi(insyaAlah).

Mudah bukan?

Apa kita tidak cemburu mahu memburu pahala mudah?

Inilah pelaburan bijak buat orang-orang yang punya ILMU dan dikurnia pinjam sedikit HARTA dunia daripada Allah.

Membuat DOSA dirasakan paling mudah kalau kita jahil, tetapi jika kita direzekikan punya ilmu, kita akan dapat melihat, betapa luasnya rahmat cinta Allah pada hamba-Nya, dibuka pelbagai jalan untuk membuat PAHALA.

Semudah-mudahnya.

Terima kasih buat pemberi al-Quran itu. Moga terus dikurnia pahala berterusan.

Belajarlah ilmu-ilmu.

Belajarlah memberi, sekadar mampumu.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
0527
270615
10 Ramadan 1436

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter