11/26/15

Barakah Subuh


Cerita Dari Masjid #3

Subuh hari itu sama sahaja seperti subuh pada hari-hari biasa.

Namun, untuk aku, pagi itu jadi pagi yang suram. Aku sendiri, tidak tahu mengapa.

Tetapi, Allah mengajarkan hamba-Nya agar jadi hamba yang sabar dan istiqamah dalam ibadah solat itu sendiri. Dan sabar itulah sabar yang dipanggil sabar dalam melakukan taat kepada Allah.

Kadang-kadang sebagai hamba biasa, tetap jua kita yang hina ini tersangkut noda dunia, terlupa negeri kekal di sana.

Saat merasa jatuh, itulah juga sebenarnya petanda hubungan kita dan Allah makin rapuh.
Jadi, selepas solat, aku jadi seakan letih. Menyandar sebentar di tiang besar masjid. Hanya fokus pada kerja buat aku, tiada aku lihat insan-insan lain seperti hari-hari kebiasaanya.

Seperti hari biasa juga, datang seorang demi seorang mendekati aku, bersalam sambil membawa buah senyum sebagai sedekah pagi. Itu biasa pada hari-hari lain.

Namun, tidak pada hari itu. Ia, seakan ada aura besar untuk di pindahkan kepadaku.
Selepas bersalam dengan ahli jemaah yang tidak lokek bersedekah senyum, terus pagi itu aku rasakan kesuramannya hilang berlalu pergi, semangat yang hilang kembali ke pangkuanku.

Islam bukan sahaja mengajar umatnya berjemaah tatkala solat sahaja, bahkan mengajarkan kita supaya bermasyarakat.

Supaya dengan itu, kita tidak jadi keseorangan tatkala gelap zulumat hampir membaham kita.

Pada saat apa sekali pun, kita sentiasa ada manusia lain yang menawarkan doa kudus untuk kita, kita masih punya insan lain yang mengingatkan kita tentang rahmat pengampunan Allah, yang tidak sesempit seperti yang disangka.

Beruntunglah menjadi dalam kalangan orang yang soleh. Kerana, dalam tahiyyat mereka, sentiasa ada doa buat orang-orang soleh yang lain.

Beruntunglah.


image


Wallahua'lam.
Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1803
200614

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter