4/19/13

Kerapuhan.


Saya punya sebuah meja studi. Selain buku dan alat tulis, di hadapan saya juga saya letakkan banyak kertas-kertas kosong. Fungsinya, pastilah untuk ditulis.

Apa sahaja yang mahu diluahkan secara ekspress, luahkan terus. Tulisan itu akan direkod dan insya-Allah berpontensi untuk berkekalan.

Dalam folder 'Writing Till Jannah' juga, saya masukkan perjalanan hidup saya, " Dari Charok ke Lapangan Juang". Semuanya, untuk saya lihat kembali suatu hari nanti, insya-Allah. Hidup bukan sekadar hidup, hidup biar meninggalkan kesan, tinggalkan perkara bermanfaat untuk orang lain.


12.4.2013

Ya Allah. 
Saat ini jelas terasa berat yang dipikul,
sudah terlalu berat. 
Tidak berdaya ku mengangkat. 
Disarati amanah dan masalah yang berat.
Andai ini kafarah dosa-dosaku yang dahulu,
tiada lagi yang terasa berat. 
Redha dan Rahmat-Mu sahaja mahu ku dapat.


nota kabur.


Tenangnya jiwa dan hati orang beriman, ialah dengan diisi hanya dengan mengingat Allah Ta'ala.

Saat musibah membelah-belah, nangislah walau kita gagah.

Terkadang, kerapuhan melambangkan kekuatan dan kelembutan.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
19.4.2013
9.32 a.m


4/9/13

Menjahit Lipatan Rindu.


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang.


Memang sejak kecil, saya aktif bermain di sana sini. Pelbagai permainan dicuba. Sudah jadi kebiasaan seorang anak kampung, meluangkan masa petangnya, bahkan kadang-kadang bukan sahaja petang, pagi petang dan malam pun masih aktif diluar lagi untuk bermain di seluruh pelosok kampung.

Pabila besar, saya rasakan tidak sia-sia menjadi seorang anak kampung dan betapa beruntungnya saya dapat melalui semua itu. Terasa masa kanak-kanak saya benar-benar dimanfaatkan, seronok!

Mana tidaknya, membesar di kawasan yang dikelilingi kehijauan dan kicauan, memang mendamaikan jiwa. Hatta hingga kini saya sangat merindui saat itu.

Bersembunyi sambil menikmati buah-buahan di atas pokok, lawan menyeberangi sungai dengan berenang, melastik burung-burung, mandi parit, terjun dalam sawah bendang, menembak dengan bijian buah terung, mengacau sarang tebuan dan temingat, panjat pokok untuk melihat sarang burung dan melihat anak-anaknya yang comel. That's the way I grew up.


Jahit.

Namun di sebalik keaktifan itu, banyak yang menjadi mangsa. Antaranya ialah pakaian saya. Paling teruk, pastilah seluar saya.

" Mama, seluaq abang terkoyak la, mama jahit sat..."

Sambil mama berleter panjang, pasti natijah akhir yang diperolehi adalah perkara yang sama.

" Mai sini nak tengok, biaq mama jahit. "

Walau panjang mana leteran, ke situ juga akhirnya.

Apabila melihat mama semakin sibuk dengan kerjanya, saya tak sanggup menyusahkan mama. Jadi saya belajar menjahit sendiri setiap kali pakaian saya terkoyak. Walau sentuhan jahitan saya tidaklah semulus seorang ibu, namun ianya cukup untuk saya pakai dan teruskan bermain untuk esok, tak perlulah beli yang baru. Keluarga kami bukan keluarga berada.

Sama juga situasinya dengan memasak. Setelah melihat mama sibuk dan letih setelah pulang dari kerja, saya belajar sendiri, tak sanggup mahu mengganggu mereka. Belajar hidup berdikari. Bahkan, sejak berumur 4 tahun, saya rasa saya telah belajar buat susu sendiri. Hehe.

Tengah saya membaca physiology, membaca berkenaan presbyopia, saya benar-benar teringatkan mama.

" It starts at age 40 years and becomes complete at 50 years. Accordingly reading or close work. e.g. threading a needle become very difficult."[1]

Kalau mama mahu mulakan jahitan, sayalah antara orang yang akan dipanggil mama untuk memasukkan benang ke dalam jarum. Hingga kini, tatkala mahu memasukkan benang ke dalam jarum untuk menjahit, saya mesti teringatkan mama. Rindu...

" Kalau dulu-dulu, mama yang tolong nenek masukkan benang ni. La ni hang pulak yang kena tolong mama..."

Senyum berseorangan mengenangkan semua ini.


Lipat.

Jika di asrama, saya kurang melipat pakaian. Semuanya gara-gara loker asrama yang agak besar saiznya. Jadi saya hanya menggantung semua pakaian saya, kalau ada yang perlu dilipat, ianya hanya sebilangan kecil.

Saya masih ingat, ketika saya mahu masuk ke asrama pada awal dahulu, mamalah yang mengajar cara melipat pakaian. Walaupun ada yang menayangkan kepada saya sebuah video, seorang wanita jepun yang mengajar cara melipat dengan cara yang cepat, namun saya hanya mengamalkannya semasa situasi sibuk di asrama sahaja. Tetapi kini, saya masih tetap mengamalkan cara lipatan yang mama ajarkan dahulu.

Di rumah dahulu, waktu mama melipat baju ialah waktu yang seronok bersembang dan mengacau mama. Masa kecil mungkin banyak mengacau, mengenjah apa yang telah dilipat mama. Mama marah sekejap,dan lipat kembali.

Tetapi bila semakin matang, saat itu banyak digunakan untuk bersembang dengan mama. Terutamanya bila balik dari asrama untuk bercuti di rumah. Sembang-sembang santai. Lebih sweet jika saya letakkan kepala di atas paha mama.

Sama juga keadaannya, kini apabila melipat pakaian yang sudah kering, inilah perkara yang laju menerjah minda. Di tambah berada jauh dari tanah air, boleh membuatkan air mata turun dengan sangat tak disangka-sangka. Nostalgia.


 Jahit + Lipat+ Rindu.

Sedar tidak sedar, sudah hampir dua tahun saya tidak pulang ke Malaysia. Rindunya usah ditanya. Saya sendiri tidak menyangka boleh berpisah selama ini. Sungguh syahdu.

Belajar bukan sekadar belajar, sambil belajar kita juga belajar untuk berkorban.

Dengan ini, saya dengan sayu dan syahdunya, menjahit lipatan rindu ini. Tidak sabar lagi mahu lepaskannya. Insya-Allah panjang umur dan dimurahkan rezeki, saya pulang. Ameen.

# Sambil mendengar lagu-lagu raya :)

[1] Lecture Note On Physiology For Medical Students, Faculty of Medicine Ain Shams University, Volume IV, Page 244.

Saya rindu mereka. Sungguh!



Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.