12/31/12

Cerpen : Dia Mahu Senyum

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


[Cerpen]


Halim, lelaki kampung, keras fizikalnya.

Apabila ditanya kepada Pak Cik Soleh, jiran sebelah rumah sewa kami, " Saya sudah senyum banyak kali, tapi hingga kini, dia masih belum senyum kepada saya."

Kata Mak Cik Zainab penjaga kaunter pembayaran kafeteria, " Kalau dia mahu bayar duit, tidak pernah langsung senyum. Letih Mak Cik senyum banyak kali."

Mak Senah tukang sapu dewan kuliah juga pernah bertanya kepada saya, " Eh, Halim itu kawan engkau? Kenapa muka dia bengis sangat, tidak pernah senyum langsung. Harap muka saja kacak..."

Ketika saya bersalaman dengan bilal masjid berdekatan rumah saya, soalan tentang Halim juga ditanya, " Mahal betul senyuman kawan awak itu, sudah hampir setahun berjemaah di sini, mukanya asyik tegang sahaja..."

Bahkan, pertama kali ketika saya berjumpa dengannya kira-kira tiga tahun yang lalu, hati saya sendiri tertanya-tanya, ' Kenapalah agaknya, dia ini jarang betul tersenyum, bukannya susah pun.'

*  *  *

Sahabat kontra.

Setahun lalu, kami mula bersama. Kami berenam, tinggal dalam rumah sewa yang sama. Berdekatan dengan universiti, untuk memudahkan segala urusan setelah tidak dibenarkan tinggal di asrama lagi.

Di takdirkan, setelah undian dibuat, Halim tinggal sebilik dengan Luthfi.

Saya ragu-ragu, lalu saya tanya Halim, " Engkau boleh tinggal dengan Luthfi?"

Tiba-tiba, Luthfi pula yang menjawab, sambil sebelah tangannya memeluk Halim, " Insya-Allah, boleh saja, aku yakin. Kita semua dah macam saudara, takkan mahu bergaduh..."

Halim, seperti biasa, senyap, tidak senyum.

Saya garu kepala, mereka jelas-jelas berbeza. Seorang periang, ramah dan suka senyum dan seorang lagi senyap, pendiam dan ketandusan senyuman.

Nah, terlalu kontra!

' Ah, bagaimana ini boleh berlaku?'


*  *  *

Suara Emas.

Suasana senyap. Masing-masing mengadap buku. Hanya bunyi kopakan helaian kertas sahaja yang mencelah. Bunyi kipas berdiri cap Toshiba yang dibeli setahun yang lalu juga, turut membantu membawa suasana belajar bilik Halim dan Luthfi.

Sambil menutup buku, Halim memecah kesunyian, " Subhanallah, sudah setahun lebih kita tinggal di rumah sewa ini. Sekejap saja rasanya. Belajar, belajar, belajar, nanti sudah boleh kerja..."

Luthfi senyap. Hairan. Terus bermonolog, ' Selama ini, aku bercakap seorang saja dalam bilik ini, tiada siapa mahu membalas pertanyaan aku. Kiamat sudah dekatkah?'

Sambil menggaru tepi kepalanya, Lutfi membalas pendek, " Oh ya, sudah lama kita tinggal di sini. Setahun dua lagi, sudah boleh kerja, insya-Allah..."

Tiba-tiba suara emas Halim berbunyi lagi, " Hampir setahun lebih aku tidak pulang ke Malaysia. Engkau tahu, aku rindu betul dengan keluargaku. Tambah-tambah ibu aku. Aku paling rapat dengan dia, dia insan yang paling memahami diri aku, sayangnya diri aku kepadanya, terletak selepas Allah dan Rasulullah yang aku cintai..."

Berkelip-kelip mata Luthfi, hatinya lantas mengomel, ' Boleh tahan juga dia ini berkata-kata. Wah!'

Halim menyambung, " Semasa aku kecil, aku selalu dipukul oleh ayah aku. Ya, aku tahu aku salah. Tetapi, kesalahan aku semuanya kecil-kecil, namun terus dibedal, ditampar, dirotan dan dihujam kepala ke lantai tanpa bertanya mengapa aku buat begitu, tidak diberi kebebasan memberi alasan. Aku hidup dalam keadaan dengan penuh kemarahan. Salah sedikit, tanpa cakap banyak, terus kena. Letih sungguh aku waktu itu. Semua itu, masih belum luput di fikiran aku. Susah jika mahu melupakan semua itu."

Luthfi mencelah, " Tidak elok engkau dedahkan keburukan keluarga engkau kepada aku. Itu rahsia keluarga engkau, aku tidak perlu tahu."

Halim dengan muka tegang, terus tersenyum sumbing, " Fahamilah Luthfi. Mahu bercakap dengan orang pun aku susah. Apatah lagi mahu ceritakan perihal keluarga aku kepada orang. Apabila aku ceritakan kepada engkau perkara ini, ia bermakna, engkau adalah orang yang aku percaya. Faham?"

Terdiam Luthfi, dia mengangguk-angguk.

" Suatu ketika dahulu, aku pernah bercerita masalah aku kepada kaunselor di sekolah aku, dia cakap dia boleh simpan rahsia, namun selepas itu, dia bocorkan kepada guru-guru lain. Akhirnya, aku sering diperli guru-guru aku yang lain. Masa itu, memang aku sedih, tertekan. Selepas itu, aku sukar lagi untuk percaya kepada orang lain. Tambah-tambah kaunselor-kaunselor yang mengaku dirinya boleh dipercayai! "

" Ok, sekarang aku faham. " Luthfi bersuara.

Tidak menunggu lama, Halim menyambung kembali." Aku hidup dalam keadaan penuh kemarahan suatu ketika dahulu. Keadaan itu, banyak memberi kesan kepada aku hari ini. Aku hanya diam, jika membantah, pasti dipukul. Mesti menunduk, jika meninggikan kepala, dikatakan melawan. Akhirnya, jadilah aku sebegini rupa. Mujurlah ada ibu aku. Dialah yang telah banyak lindungi diri aku. Banyak yang dia faham perihal diri dan hatiku. Aku betul-betul sayangkan dia."

" Tapi, ayah engkau itu tetap ayah engkau. Engkau tidak boleh abaikan dia." Luthfi kembali mencelah.

Pantas Halim menjawab, " Ya, itu aku tahu. Dia ayah aku, satu-satunya ayah aku. Masih hidup lagi pun, belum mati. Sebelum aku ke sini dahulu, dia telah pun minta maaf kepada aku atas segala kesilapan dan sifat barannya yang dahulu. Aku pun tidaklah sekejam mana, aku pun masih sayangkan dia. Dia masih ayahku. Jika ayah kita seorang kafir pun, kita dituntut menghormati dan menyayanginya, apatah lagi ayah aku yang sudah tahu itu salahnya dan telah meminta maaf kepada aku."

Sambungnya lagi, "Bukan aku tidak mahu senyum, tetapi aku selalu gagal. Hati aku tiada taman, apatah lagi bunga-bunganya. Ketika aku bercakap biasa, orang cakap aku marah. Padahal, mimik muka aku memang sebegitu. Nampak bengis. Mahu cuba senyum, keras betul bibir aku. Memang rasa ketandusan sungguh bibir aku ini. Itulah kesan kehidupan aku yang dahulu, hingga kini kesannya. Kesan kehidupan dalam keluarga itu lebih memberi kesan dan sukar untuk diubah. Pada engkau, mungkin senyum itu mudah. Tapi, bagi aku payah. Tidak semua perkara yang kita anggap mudah, ianya mudah di sisi semua orang."

Terdiam suasana sebentar. Luthfi kelihatan seperti sedang berfikir.

Sambil tersenyum-senyum, Luthfi membalas, " Alhamdulillah, sekarang aku sedar. Aku silap. Dalam senyap, aku berprasangka buruk terhadap orang lain. Astaghfirullah. Semua orang datang dari latar belakang yang berbeza-beza, dengan mengetahui latar belakang keluarga, kita dapat menyelami setiap perbezaan di antara kita semua.Tapi, aku harap engkau tidak terus berputus asa. Teruskan berusaha. Insya-Allah, Allah kira setiap usaha kita, walaupun gagal."

Hati Luthfi terus berdoa, ' Ya Allah, dia mahu senyum, permudahkanlah dia...'

it's sunnah!




"Tidak semua orang sama, ada yang berbeza. Apabila, perbezaan itu tidak merosakkan, maka raikanlah."

"Letih menyebar senyuman? Senyuman yang ikhlas, senyuman yang tidak meletihkan. Namun, 'fake smile', ternyata letih!"


" Bibir yang ketandusan senyuman, sukar didekati.

Senyum, walau susah.

Senyum, walau dalam hati tiada taman.

Senyum, kerana chenta segala sunnah Rasulullah. "



^_^



Wallahua'lam.



Muhammad Iqbal
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
30.12.2012
7:04 p.m






12/27/12

Chenta dan Cinta

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Tidak sangka, suatu ketika dahulu, akaun twitter saya seolah-olah mayat hidup. Hidup, tetapi seakan tiada apa-apa.

Namun, hari ini, saya kira ianya sudah berfungsi. Alhamdulillah. Apa saja ruang dakwah yang ada, manfaatkan. Jangan sampai terlalu lalai. Peringatan untuk diri saya juga.

Twitter, bagi saya satu medan dakwah yang baharu. Paling penting, ia membina minda kita menjadi kreatif kerana bilangan huruf yang dibenarkan terhad. Jadi, untuk sampaikan sesuatu, harus bijak, harus kreatif. Baru mesej boleh disampaikan dengan baik.

" Sesiapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah, mengakui Allah tuhannya dan Rasulullah itu pesuruh-Nya. Maka, dia adalah seorang da'ie. Seorang da'ie itu, tidak duduk saja menanti ruang dakwah, tetapi harus bijak mencari ruang-ruang dakwah."

Chenta.

Remaja, tidak dapat lari dari perbincangan yang melibatkan soal cinta. Hari-hari, ada saja perbincangannya. Entah bila mahu bosan pun tidak tahu, bahkan boleh buat topik pencerah mata.

Saya tertarik dengan soalan sahabat saya di twitter, yang bertanyakan mengapa saya menggunakan kalimah 'chenta' berbanding 'cinta'.

Cinta biasa kepada siapa? Kepada yang bergelar manusia. Ibu bapa, adik beradik dan sebagainya.

Chenta luar biasa? Kepada Allah Subhanallah Ta'ala dan kekasih-Nya, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Rasulullah bukan manusiakah? Ya, manusia. Tetapi hakikatnya, baginda manusia yang bukan seperti manusia lain. Maqamnya terjauh mulia berbanding manusia biasa.


Sebut.

Saya letakkan perkataan 'cinta' hanya manusia biasa. Manakala 'chenta', kepada Allah dan Rasulullah.

Kerana, intonasi ketika menyebut lafaz 'chenta' itu lebih istimewa dan lebih 'power' auranya berbanding menyebut 'cinta'. Tidak percaya, silakan cuba dengan penuh penghayatan.

Itu manifestasi 'cinta' dan 'chenta' dari segi lafaz. Segala lafaz yang keluar itu, mudah-mudahan menjadikan hati lebih rasa 'zouq' kegahannya.

Bersama dengan para ulamak dan auliyak, boleh membawa hati kita belayar dengan hati mereka, membenih rasa  chenta kita kepada Allah dan Rasulullah.
[ Foto : Syeikh Usamah as-Sayyid Mahmud al-Azhari, Rektor Universiti al-Azhar, antara tokoh ulama muda yang saya kagumi ]


Wallahua'alam. 


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.
26.12.2012
10:04 pm.





12/17/12

Logika.



Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.





Entri ini ada kaitan dengan cerpen Dua Down.

Ketika usai kelas Phychology dalam dewan kuliah, saya teringat untuk bertanyakan kepada doktor tentang kadar keterencatan akal dan IQ bagi insan-insan Down Syndrome. Kerana, perkara tersebut tidak dinyatakan dalam buku yang department sediakan.

Namun, Allah Maha Mendengar, seorang rakan dari belah pelajar perempuan telah bertanya soalan itu. Syukur. Lalu, jawapan yang diberi ialah, insan-insan Down Syndrome ini punya kadar Mental Retardation ( MR ) dalam ketegori Moderately Retarded Patients ( imebecile ) atau boleh jadi hingga Severely Retarded Patients ( Idiot ).

Ciri-ciri Moderately Retarded Patients ( imbecile ) :

- Kadar IQ 30-50
- Trainable ( boleh dilatih ) dan Not Educable ( tidak boleh diajar ).

Manakala, ciri-ciri Severely Retarded Patients ( idiot ) :

- Kadar IQ dibawah 30.
- Not trainable ( tidak boleh dilatih ) dan Not educable ( tidak boleh diajar ).
- Mereka memerlukan Rehabilitation ( Pemulihan ) dan Institualization ( Penerapan ).

Nota : IQ untuk Mental Retardation ( terencat akal ) ialah di bawah 70. [1]

Begitulah apa yang telah termaktub dalam buku Phychology. Mendengar jawapan daripada doktor saya jadi puas hati. Soalan terbuku sudah terjawab.


Dua Down.

Sengaja saya buat cerpen itu berkaitan dengan penyakit Down Syndrome. Ianya pada saya merupakan cebisan idea besar dan cita-cita saya untuk menulis sebuah novel berkaitan dengan penyakit itu satu ketika nanti. Moga-moga tercapai cita-cita itu, insya-Allah.

Sebahagiannya logik diterima akal, sebahagiannya kurang logik. Kekurangan logik itu bukanlah hanya mahu buat sebuah kisah fantasi, tetapi hanya mahu mengajak kita saling berfikir dan terus berfikir.

Dalam cerpen Dua Down tersebut, sengaja saya akhirkan dengan penutup yang kurang logik pada akal manusia. Manakan boleh, dua kanak-kanak Down Syndrome, selepas berlaku kemalangan jadi manusia yang tinggi IQ-nya dan sangat bijak? Bahkan terjadi serentak kepada kedua-dua adik beradik itu.

Nah, memang tidak diterima dek akal!

Namun ada yang lupa, Allah itu Maha Kuasa, Maha Besar, Maha Mengetahui segalanya. Yang tidak logik, boleh jadi dengan izin-Nya. Tanpa ragu-ragu, yakin dengan kuasa Sang Pencipta kita semua.

"Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi."
(Surah Yaa Siin 36 : 82)


Aqidah.

Ketika mana kita ghairah mencari ilmu lain, kadang-kadang kita terlupa satu ilmu yang sangat penting iaitu ilmu aqidah. Kadang-kadang kita pernah mempelajarinya, tetapi perlu juga kita sedar bahawa betapa lama juga kita telah meninggalkan ilmu itu.

Ada orang yang membesar dalam suasana kurang atau tidak menekankan cara hidup Islam. Lalu hidupnya tidak pernah endah betapa tingginya peri penting ilmu ini. Ianya mungkin mudah bagi sesetengah orang, tetapi ramai yang tidak ambil tahu.

Ramai juga yang dilahirkan dalam persekitaran gaya hidup Islam, namun nilai aqidah dalam diri tidak diletakkan sebati dan tertinggi dalam diri. Ada yang belajar, tetapi hanya untuk habiskan silibus, maka itulah yang akan kita dapat. Intipatinya dilupakan.

Bahkan, ketika anak-anak masih kecil, persoalan aqidahlah perkara pertama yang perlu diajar. Mengajar mengenal TUHAN bukan hanya mengenal HANTU. Realitinya, didikan ini, ramai yang telah meinggalkannya.

Lihat kisah Nabi Ibrahim 'alaihissalam, ketika hendak dibakar oleh penyembah-penyembah berhala, kisahnya tidak logik. Masakan seorang manusia yang dicampak ke dalam api besar yang marak menyala-nyala tetapi langsung terjadi apa-apa kepada dirinya.


" (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! "

" Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

" Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya). "

" Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. "

(Surah al-Anbiyaa' 21: 68 - 71) 


Singkap juga kisah Nabi Ibrahim 'alaihissalam yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam. Walau pisau yang telah diasah tajam, tetapi ketika mahu disembelih, pisau tersebut tidak berjaya memotong. Logikkah itu disisi akal kita?


Tetapi buat yang yakin seratus peratus kepada Allah, yang aqidahnya tiada cacat cela, pasti percaya tanpa banyak bicara. Imannya membenarkan segala-galanya.


Bukan api yang membakar, tetapi dengan izin Allah api itu mampu membakar.

Bukan pisau yang tajam itu yang memotong, tetapi dengan izin Allah pisau itu mampu memotong.


Hantar.

Saya tidak kisah jika apa yang saya tulis tidak diterima untuk dipublish atau sebagainya hanya kerana ianya tidak logik. Di sana ada ramai yang menulis kisah yang langsung tak logik dek akal, namun ditolak.

Yang dikisahkan, hanya apabila ada perkara-perkara yang salah dan cacat celanya dalam penulisan dan apa saja berkaitan diri saya, mohon ditegur. Itu sahaja.

Namun, tidak dapat dinafikan juga segala penolakan atau kritikan itulah yang akan membuatkan kita bergerak lebih kuat dan ke hadapan.

" Jika JK Rowling berputus asa ketika menghantar Siri 1 Harry Potter kepada penerbit buat pertama kalinya, tentu adikaryanya itu tidak wujud. Dan dia tetap seorang janda anak satu yang tidak dikenali orang.

Tetapi, JK Rowling menghantar kepada penerbit lain, masih gagal. Dia mencuba lagi. 11 kali mencuba, baharulah Penerbit Bloomsbury dari London sudi menerbitkan dengan bayaran muka 1500 pound. Buku itu cuma dicetak 1000 naskah, 500 daripadanya diberikan ke perpustakaan.

Keadaan berubah selepas itu. Kini kekayaan JK Rowling bernilai 7 bilion (hasil novel dan filem Harry Potter). Malah Forbes menyenaraikan JK Rowling antara 12 wanita paling kaya di Britain.

Pengajaran yang baik untuk kita semua teladani daripada wanita ini; jangan mudah berputus asa!" [2]

Moga, segala usaha dan amalan kita dikira sebagai amal soleh di sisi Allah. Moga-moga diredhai-Nya.

Tidak logik jika singa mampu dekat dengan manusia  hingga mampu dipeluk seperti memeluk teddy bear, tetapi andai diizinkan-Nya, semuanya mampu terjadi. ^^




[1] Brief Notes In Phychology. Prof. Mohamed Ghanem, Chair, Institute of Phychiatry, Ain Shams University.

[2] Status facebook seorang penulis, Ummuhani Abu Hassan.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.

16.12.2012
11.40 p.m


12/3/12

Cerpen : Dua Down


Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


[Cerpen]

Seorang namanya Amir. Seorang lagi namanya Amran. Amir yang bermata sepet iras Jackie Chan, merangkap abang kepada Amran. Kedua-dua mereka, punya ikatan adik-beradik yang kuat. Semuanya mahu bersama-sama, sungguh hebat ikatan mereka. Mereka pantas berlari, cergas meloncat ke sana sini, aktif memanjat geriji besi yang terkunci rapi.

Saya sudah lali melihat gelagat-gelagat mereka, sudah biasa. Setiap kali ke rumah nenek mereka, begitulah keadaannya.

Sejak lahir, kedua-dua mereka terpilih menjadi insan istimewa. Memiliki muka yang seiras, mereka senasib dengan dengan rakan-rakan Down Syndrome yang lain. Akal mereka tidak seperti orang lain, punya sedikit keterbatasan, tidak sama dengan insan normal lain.

Tambah pula, mereka ini bukanlah yang jenis biasa-biasa, tetapi dikurniakan juga hyperaktif. Selalu sahaja berlari ke sana sini, sukar mahu berhenti. Kita yang melihat, kadang-kadang rasa lebih letih daripada mereka.


Di sebalik mereka.

Siapa sangka, dua anak ini diuji dibawah sedar, dengan keterbatasan akal fikiran mereka. Ayah mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja mencari rezeki halal buat mereka.

Ibu mereka, selepas setahun kelahiran Amran, bercerai dengan suaminya. Si ayah redha dan terus menjaga anak-anak istimewa mereka itu. Selepas itu, tiada lagi jengukan dan perkhabaran dari ibu mereka.

Ketika ayah mereka keluar bekerja, sang neneklah yang akan menjaga mereka. Walau bagaimanapun, sang nenek tak pernah mengeluh, tetapi lebih kerap menyebar senyuman buat kedua-dua anak istimewa itu.

Kini, tenaga pengurusan yang menguruskan mereka hanyalah nenek mereka. Selepas kematian ayah mereka, semua bebanan jatuh kepada sang nenek. Siapa sangka, ayah mereka pergi dipanggil Ilahi dengan usia begitu  muda dan langsung tidak dijangkakan. Betullah, umur bukanlah syarat untuk sebuah kematian.


Nenek.

Setelah bertahun-tahun membesarkan enam orang anak normal, kini Allah berikan dia satu lagi peluang emas menabur jasa mengutip pahala untuk membesarkan dua lagi cucunya. Bahkan kini lebih perit, membesarkan dua insan istimewa dalam keadaan diri sudah dimamah usia.

Dekat dikalbunya, dia redha dengan ketentuan-Nya. Menganggap ini pelabuaran berharga yang dikurniakan Allah, dia curahkan sepenuhnya kasih sayang kepada dua cucunya itu.

Setiap kali saya melihat wajah si nenek, saya nampak betapa peritnya hidup seorang wanita tua yang sudah lama ketiadaan suaminya, membesarkan dua orang insan Down Syndrome itu.

Paginya, dimulakan membuat sarapan untuk mereka berdua. Sang abang mahu makan nasi dengan dua biji  telur dadar. Si adik mahu makan paha ayam goreng dengan kuah kari. Itulah makanan kegemaran mereka. Sang nenek tanpa jemu, setiap hari menjamu kedua-dua cucunya.

Selepas makan dan bersiap, sang nenek menghantar mereka ke sekolah khas. Sekolah khas yang dibiayai pebuh oleh kerajaan. Dengan harapan, mereka dapat pelajari sesuatu yang baharu di sana dan dapat jadi insan berguna suatu hari nanti.

Mujurlah Amir kini sudah pandai mengayuh basikal sendiri atas didikan susah payah pak cik mereka pada cuti semester yang lalu. Maka lebih mudahlah sang nenek menghantar mereka ke sekolah.

Si nenek tak mampu untuk membeli motosikal atau kereta. Duit pencen suaminya hanya cukup-cukup makan sahaja. Lalu, kenderaan yang mampu digunakan ialah basikal mini dan sebuah basikal kecil untuk Amir. Itupun, mujurlah ada yang sudi untuk menghulurkan bantuan.

Setiap pagi, sang nenek akan mengayuh basikal sambil dipeluk kuat Amran di belakang. Manakala Amir mengekori neneknya di belakang dengan basikalnya.

Mata saya ketika pertama kali menyaksikan semua ini, bagaikan mahu menangis di situ sahaja. Subhanallah, sungguh tabah hatinya.


Doa nenek.

Si nenek tahu, Allah tak akan bebankan dengan apa yang tidak mampu dia tanggung. Lalu dengan itu, dia bersungguh-sungguh membesarkan anak-anak itu.

Letih bagaimana pun, dia yakin dengan habuan yang dijanjikan Allah di akhirat sana.

" Mak Lang, macam mana Mak Lang boleh jaga dua orang hyperaktif ini, tak letih ke?" Saya tanya suatu pada suatu ketika.

Mak Lang dengan wajah sedikit berkedut, masih mampu mengukir senyuman.

" Kalau kita buat kerana manusia atau makhluk lain memanglah kita akan jadi penat, tapi kalau kita buat kerana Allah, insya-Allah tidak terasa sangat kepenatan itu. Yakin dengan segala percaturan Allah, yakin Allah akan bersama kita, Dia selalu tetapkan yang terbaik untuk kita. Kita sebagai hamba-Nya, perlu redha dengan-Nya, moga-moga Allah redha juga dengan segala yang kita buat. Bukankah hidup kita ini untuk capai redha Allah?" Jawab Mak Lang sambil menggoreng telur dadar buat Amir.

Gulp, saya terkedu. Hasyalilllah, sungguh tinggi keimanan wanita ini. Ini bahagian jihadnya dan dia akur dengan segalanya.

" Mak Lang selalu doakan mereka, agar jadi manusia yang berguna di dunia dan akhirat. Merekalah saham Mak Lang. Mak Lang tidak akan sia-siakan hidup mereka. Walau masyarakat asyik menghina mereka cacat, tetapi di mata Mak Lang, mereka sempurna. Bahkan dengan melihat mereka, hati kita boleh lihat betapa Allah itu maha kuasa dan kita sebagai hambanya, tiada apa-apa." Mak Lang menambah, ketika tangan laju membasuk pinggan-pinggan di dalam sinki.

Hati saya kagum dan kaget. Diam tidak membalas.


Satu Keajaiban.

Selepas beberapa tahun, satu kejadian besar berlaku. Ketika itu, Amir sudah pun berusia 15 tahun, manakala Amran sudah 13 tahun. Sudah besar panjang.

Kejadian berlaku ketika dalam perjalanan mereka ke sekolah khas. Seperti kebiasaan, si nenek membawa Amran, Amir membawa basikal baharu yang dibeli pak ciknya di belakang.

Namun, sesuatu yang tak diingini berlaku. Sebuah lori sampah bandar raya, secara tiba-tiba melanggar mereka dengan sungguh laju. Kesemua mereka dimasukkan ke hospital.

Si nenek sedar selepas dua jam terlantar di hospital. Namun, Amir dan Amran koma tidak sedarkan diri. Sang nenek tidak cedera terlalu parah, hanya luka sedikit di bahagian tangan dan kaki.

Amir dan Amran teruk dilanggar di bahagian tepi sebelah kanan. Hentakan kuat di kepala, membuatkan mereka koma hingga seminggu. Mereka ditempatkan dalam Intensive Care Unit ( ICU ) selama seminggu kerana keadaan mereka yang cedera di bahagian kepala yang agak serius.

" Mana Amir dan Amran? Bagaimana keadaan mereka? Mereka di mana?" Laju Mak Lang bertanya ketika dia mula sedar, sayu terlantar di atas katil.

" Mereka di ICU Mak Lang..." Pendek saya menjawab.

Air mata si nenek berguguran jatuh mebasahi bantal. Dengan penuh pengharapan, dia mengangkat tangan, lalu berdoa.

" Ya Allah, Engkau Maha Kuasa, Maha mengatur segalanya, Maha mengetahui segala hikmah, Engkau selamatkanlah dua orang cucuku itu. Sesungguhnya aku amat menyayangi mereka. Namun aku akan redha jika Engkau lebih sayangi mereka. "

Saya di situ tidak tertahan lagi, bercucuranlah air mata. Sebak yang teramat.

Selepas seminggu, mereka sedar. Ada sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Sangat ajaib. Maha Suci Allah atas segalanya.

Doktor mengatakan, otak mereka tidak ada sebarang masalah. Bahkan, otak mereka tidak lagi terencat, tetapi jadi normal seperti manusia lain.


Allah Sebaik-baik Pengatur.

Kini, selepas 20 tahun, mereka hidup normal seperti manusia lain. Tidak lagi terencat. Cuma wajah fizikal mereka, masih lagi sama seperti insan-insan Down Syndrome yang lain.

Mereka pada hari ini lebih istimewa daripada insan lain. Mereka jadi manusia pintar dan punya IQ yang tinggi, sama tingginya dengan manusia genius yang lain. Hari ini, kedua-dua orang mereka sudah menjadi manusia hebat. Keduanya-dua sudah benar-benar menjadi 'Orang Kelainan Upaya (OKU)', kerana mereka sudah dikurniakan Allah minda genius mengatasi manusia normal lain.

Subhanallah!

Mereka bukan sahaja menjadi graduan Oxford University, bahkan juga menjadi penghafaz al-Quran. Kedua-duanya berjaya menjadi doktor yang mampu berbakti buat ummah. Gencar membangunkan ummah, padu menyatukan ummah.

Di satu sudut, sang nenek tersenyum lebar melihat dua cucunya itu. Bangga dengan cucu-cucunya. Bersyukur kerana masih diberi peluang melihat cucu-cucunya ini berjaya di menara gading. Dengan harapan, mereka terus  menjadi insan berguna buat ummah dan tidak mudah lelah dengan segala mehnah.

Wallahua'lam.

# Ini hanyalah sebuah cerpen.



Muhammad Iqbal.
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
3.12.2012
10.51 a.m.