9/21/12

Siri 17 : Hujung Cuti.


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Sedar tidak sedar, menghayun-hayun kepala, mengeleng-geleng, menghantuk-hantuk, lihat atas dan bawah, sudah lebih setahun Muhammad menghirup udara berdebu di bumi Kinanah ini. Cuti pun sudah di penghujung.

Muhammad telah mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia pada cuti kali ini sejak di awal fatrah pengajian tahun pertama lagi. Ilmu-ilmu di sini belum puas lagi diteguknya. Biar sakit dahulu, agar mudah kemudian. Dalam jalan menuntut ilmu, tiada yang mudahnya. Penuh saja jalan berliku, penuh duri-duri jalanan. Sakitnya usahlah lagi dipersoalkan, hanya Tuhan saja yang tahu.

Ketika mengadu kepada ayahnya tentang susahnya belajar, hanya dengan kalam mudah ayahnya menjawab.

" Kalau nak mudah, baik tak payah belajar!"

Nah, diam seribu bahasa, seram kelu hendak membalas.


Cuti-cuti.

Aktiviti-aktiviti cuti, tidak lain mestilah berkait dengan ilmu. Sia-sia saja, kalau berada di bumi Qiblat Ilmu, tapi masih leka dengan segala hiburan segala bagai.

Pesan seorang ustaz kepada Muhammad, antara perkara yang perlu dapat setelah graduate di sini nanti, tak kiralah kamu berada dalam bidang apa sekali pun, ialah Sijil Markaz Lughah ( Setaraf diploma bahasa arab di Malaysia ) dan Sanad Bacaan al-Quran.

Maka, mula segalanya, perlulah menyusun segala gerak kerja mengikut prioriti dan penuh rasional. Perlu bijak dalam menyusunnya, jika tidak rugi jadinya.

Lambakan buku-buku, sama ada buku-buku bidang perubatan sendiri atau bidang lain, perlu dikerah tenaga untuk habiskan. Susun bahasa, Melayu, Inggeris dan Arab. Baca setakat yang termampu, bawa dan baca di mana saja berada. Tak kira dalam tremco, teksi, metro ( seakan LRT ) atau dalam bas sekali pun.

Letihnya usah dikira. Penuntut ilmu akhir zaman perlu sedar yang masa mereka hanya sedikit. Perlu juga kiranya untuk kurangkan waktu tidur, waktu rehat apatah lagi. Biarkan otak sentiasa berjalan, menerima ilmu bermanfaat.


Efisien.

Pengangkutan sangatlah penting dalam proses menuntut ilmu, tambahan pula jika tempat pengajian yang berbeza-beza dan jauh jaraknya. Buat yang mampu di bumi Anbiyak ini, mereka boleh membeli motosikal dengan harga yang agak murah berbanding Malaysia.

Tetapi, buat yang tidak mampu dan yang ingin merentas rasa susahnya dan nikmatnya menuntut ilmu, boleh saja menggunakan pengangkutan awam yang disediakan. Kawasan bandar seperti Kota Kaherah ini sememangnya pengangkutan awamnya sangat efisien dan murah.

Kini, apabila telah berpindah ke Abbasiyah, jarak ke Masjid al-Azhar, Masjid Husien dan Masjid Soleh Ja'fari lebih dekat. Tetapi, kekangan lain muncul pula. Pengangkutan terus ke sana agak lebih rumit sedikit. Kena bertukar-tukar pengangkutan. Agak letih dan rumit. Sakit.



Hujung.

Namun, kini sudah dihujung percutian. Tak lama lagi sudah mula kuliah. Maka, dengan itu Muhammad sudah masuk pengajiannya untuk tahun kedua. Alhamdulilllah.

Semua kudrat bakal ditumpukan sepenuhnya untuk pengajian perubatan. Tinggalkan sedikit penumpuan terhadap bidang lain.


Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
19.9.2012
4:19 p.m


9/20/12

Siri 16 : Nasi Kabsah.

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Fikiran Muhammad menerawang. Mahu beraya di mana agaknya Aidilfitri ini. Hayyu Sabi' atau Hayyu 'Asyir? Kedua-dua tempat itu merupakan kawasan tumpuan para pelajar Malaysia di Mesir.

Akhirnya, bulat fikiran memproses keputusan. Memandangkan kini Muhammad sudah menetap di Abbasiyah, nampaknya keputusan memihak kepada beraya di situ sajalah. Bagi Muhammad, baru la ada feeling beraya diperantauan sikit. Tak ramai orang Malaysia yang berada di situ waktu perayaan.

Muhammad seterusnya berpakat dengan dua lagi sahabatnya, untuk beraya bersama. Rasa la sikit kemeriahan raya.


Nasi Kabsah.

Pertama kali dengar nasi kabsah ini setelah hampir setengah tahun berapa di bumi Mesir. Tapi, dengar setakat dengar, tak pernah tahu rupanya bagaimana. Tak tahu juga rasanya sesedap mana.

Alhamdulillah, pada suatu hari, Muhammad dan sahabat-sahabat lain telah berkunjung ke sebuah rumah dua orang ustaz senior di bumi barakah ini. Mereka sudah berada di Mesir lebih dari dua belas tahun. Mereka sangat-sangat berpengalaman dan sangat-sangat senior. Rugilah kiranya jika tidak menceduk ilmu yang sangat bertimbun tingginya dari mereka. Segala ilmu, ilmu agama, ilmu survival hidup dan tak dilupa ilmu masak-memasak.

Kunjungan mereka bukan kunjungan kosong. Mereka membawa bersama juga barang-barangan untuk dimasak. Muhammad tidak tahu pada malam itu mereka bakal memasak nasi kabsah. Dia hanya menolong sahaja.

Menurut ustaz-ustaz itu, nasi kabsah ini sememangnya berasal dari kawasan Arab Saudi. Mereka sendiri telah belajar memasak nasi kabsah itu daripada warga negara Arab Saudi ketika ada sekumpulan pelajar yang tinggal di kawasan tempat tinggal mereka dahulu.

Apa yang membuatkan nasi ini istimewa ialah ramuan asalnya merupakan daging kambing dho'ni. Kambing dho'ni ini sejenis kambing biri-biri yang tidak ada di Malaysia. Bau dan rasanya, sangat-sangat mengancam. Harganya juga boleh tahan mahal.

Kambing dho'ni dalam al-Quran.

"(Binatang ternak itu) lapan ekor - (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar".
(Al-An'aam 6:143)

Setelah siap semua dan dihidang, barulah tahu bahawa itu sebenarnya nasi kabsah. Betapa dalam diri Muahmmad berasa rugi kerana tidak melihat dengan teliti cara pembuatan nasi kabsah itu. Walaupun dia turut terlibat dalam pembuatan nasi kabsah tersebut, namun dia tak begitu teliti.

Pertama kali Muhammad rasa, Subhanallah betapa sedapnya nasi kabsah itu. Daging kambing dhokni yang sememangnya mengiurkan sesiapa yang mengidunya. Ummmmph, mantap!

Apabila ditanya berkali-kali, akhirnya ustaz-ustaz itu sudi menurunkan resepi nasi kabsah buat Muhammad. Semuanya dicatat dan ditanya sebagaimana Muhammad selalu bertanya resepi kepada ibunya.


Malam Raya.

Di sebabkan gas di rumah sudah habis, maka segala persiapan raya semuanya dibawa ke rumah sahabat-sahabat lain. Termasuk persediaan makanan. Mereka tak bercadang untuk buat kuih raya dan rendang ketupat, tetapi mahu cuba kelainan untuk memasak nasi kabsah.

Walaupun belum pernah masak nasi kabsah sebelum ini, Muhammad dan rakan-rakannya cuba juga berganding bahu menyiapkannya. Duduk berhalaqah tiga orang dan mulalah adegan potong memotong bahan. Air mata malam raya di perantauan juga mengalir, bukan kerana sedih tetapi pedih mata menyiang bawang.

^_^


Syukur, setelah bertungkus lumus, akhirnya nasi kabsah menjadi pada pukul dua setengah pagi walaupun dengan kekurangan bahan masakan. Rasanya, walau pertama kali buat, boleh tahan juga sedapnya. Semua melirik senyuman manis malam raya tanda puas.

Orang lelaki memang simple kan? Kuih arab di tepi itu tidak termasuk dalam pekej, cuma sebagai ganti kuih raya. Kan Muhammad?



Pagi Raya.

Semua bercadang menunaikan solat sunat raya aidilfitri dengan pakain lengkap baju melayu bersampin. Mata orang arab semua tertumpu kepada mereka. Ada yang mengejek dan ada yang tengok seakan-akan kami ini alien dari planet asing. Begitulah arab, tidak seperti masyarakat eropah yang katanya lebih menghormati budaya negara lain.

Pagi raya dimeriahkan lagi dengan bersama pergi menaiki metro ( seakan LRT ) ke Asrama Rumah Melayu (ARMA ) di kawasan Abdou Pasha, Abbasiyah. Sate yang telah lama diidamkan akhirnya dapat juga dijamah oleh mereka. Berjumpa dengan sahabat handai beraya dan bersalaman dengan mereka.

Hidup merantau seronok. Kitalah yang mewarnai kematangan diri kita dari pelbagai aspek. Walau keluarga jauh di mata, mereka sentiasa berada di dalam hati, walau sejauh mana merantau pergi.


Wallahua'alam.


Muhammad Iqbal.
el-Abasiyah, Cairo, Egypt.


9/19/12

Siri 15 : Jatuh

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Dalam hidup, jatuh dan naik itu normal.

Yang bezanya, bagaimana kita menguruskan dua perihal keadaan tersebut. Sama ada dengan akhlak ajaran Nabi, atau dengan emosi yang selalu memakan diri.

Jatuh naik perkara biasa.


Muhammad, tak terlepas dari segala jatuh bangun itu. Jatuh dalam diri Muhammad memuncak apabila satu subjek untuk final examnya perlu di reseat.

Kalau sudah berusaha bersungguh-sungguh dan tawakkal, tak perlu terlalu sedih. Mungkin cara berusaha itu kurang betul. Chill, dan betulkan semula.


Juga Tak Terlepas.

Baginya, sakit. Sungguh sakit. Perkara yang pertama yang perlu dilakukan ialah senyum.

Sebagai hamba, kita perlu Redha dengan segala percaturan Allah. Andai kita membantah, itu bukan lagi Redha, tapi membantah segala percaturan Allah!

Kita siapa, Tuhan?

Hati manusia normal, datang jua sedikit kesedihan. Seribu rasa datang menerpa, namun rasa yang paling dahsyat menikam ialah, 'akulah yang paling bodoh'.

Dalam keadaan begitu, kita jangan melihat apa-apa, selain Allah. Segalanya datang daripada Allah dan terus yakin dengan segala percaturan Allah untuk kita adalah sentiasa yang terbaik. Hanya kita sahaja yang belum mengetahui dan nampak segala hikmah itu.

Terus jadi cool. Sentiasa senyum tanda Redha. Orang lain tak rasa, biar kita sahaja yang rasa. Mahu harap bantuan orang lain tak boleh sangat, mereka hanya setakat tepuk belakang dan hadiahkan senyuman sahaja kepada kita.

Senyum.


Sayang.

"Tak payah nak sedih sangat, nak buat macam mana, itu semua salah kamu. Salah kamu, sedarlah!"

Ada sejenis manusia yang sering menuding jari dan berkata sedemikian. Fikiran mereka sukar untuk capai kepada Allah. Hati mereka terhijab, sukar untuk fikiran mereka kembali kepada Allah.

Bagi Muhammad, dia yakin, ini satu tanda sayang. Sayangnya Sang Rabb kepada hamba-Nya.

" Apabila Tuhan sayang akan hamba-Nya, Dia akan mengujinya."

Ustaz yang mengajarkan ilmu tasawuf kepadanya, sering mengungkap kata-kata emas demikian. Apabila kita sayang kepada Allah dan Rasulullah. Mudah saja kita hadapi segalanya.

Bagaimana mahu disayangi, jika kita tidak pernah menyayangi?

Sakit kita, walau tak didengari sangat oleh orang lain, Allah sentiasa mengetahuinya. Meniti sirah Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam junjungan mulia, buat kita rasa kerdil diri.

" Setara mana sangat ujian Allah ini buatku, hamba-hamba kesayangan Allah dan orang lain lebih dahsyat dan getir lagi ujiannya.." Dengus jiwa kecil Muhammad.



Telah berkata seorang yang soleh:

"Kami meminta daripada Allah,
sekiranya diberikan, kami gembira satu kali,
dan sekiranya kami dihalang, kami gembira sepuluh kali,
kerana pemberian itu adalah kehendak kami, dan halangan itu adalah kehendak Allah,
dan kehendak Allah adalah lebih baik daripada kehendak kami..."



Dari Anas bin Malik Radhiallahuanhu, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda;

إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط

" Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah." 
(Riwayat al-Tirmidzi - hasan)



Wallahu'alam.


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.




9/6/12

Siri 14 : Pindah


Setiap semua perkara, apabila tiba masanya, bila telah ditetapkan masanya untuk berubah, dia akan berubah. Hidup kita juga sering berubah. Sejak kecil, hingga hidup kita sekarang, tak terhitung perubahan dan pemindahan kita.

Sedar tak sedar, sudah hampir setahun Muhammad dan kawan-kawannya menetap di Hayyu Sabi'. Kini, perlulah terima hakikat untuk satu perubahan. Pemindahan ke arah kebaikan. Berpindah tempat tinggal ke tempat yang lebih dekat dengan kawasan pengajian dan bersedia untuk berdikari dengan lebih jitu dalam kalangan bangsa arab.


Malam satu Ramadan.

Pemindahan rumah bukanlah hanya proses pemindahan materialistik sahaja, tetapi juga mestilah cuba sebaik mungkin untuk berpindah secara holistik, termasuk rohaniyah. Azam baharu pemindahan diri, perlu diselitkan.

Pada saat kita berpindah inilah, antara waktu yang baik untuk kita mulakan hidup baharu, menjadi insan yang punya nilai hidup yang berkualiti.

Muhammad, tidak teragak-agak untuk gunakan peluang ini. Moga-moga berkat ramadan dan pemindahan rumah ini, membawanya ke arah hidup yang lebih bernilai kualitinya untuk Islam.

Pada hujung 30 sya'ban, mereka mula memunggah barang untuk dibawa ke tempat baharu. Dengan menggunakan lori kecil Chevrolet, mereka mengangkut barang-barang dari Hayyu Sabi' hingga ke Abbasiyah. Segala tenaga dikerah untuk menjayakan pemindahan mereka. Para ustaz dan teman-teman lain turut menyumbangkan tenaga. Bahagia sungguh hidup bersaudara atas nama Islam.

Sampai di Abbasiyah, langit sudah mahu mengufuk merah. Tak lama selepas itu, sahabat-sahabat yang tinggal di situ datang secara berjemaah untuk membantu mereka. Hidup bermasyarakat dan bergaul baik dengan semua orang membuatkan hidup kita jadi mudah jika kita dalam keadaan memerlukan bantuan.

Agak membebankan jika tiada bantuan untuk mengangkat kesemua barangan ke tingkat enam dengan menaiki tangga. Fuh, tinggi tu! Namun semuanya jadi mudah jika bekerjasama.

Tak lama selepas azan Maghrib yang menandakan masuknya bulan ramadan, semua urusan mengangkut barang selesai. Semuanya kelihatan letih sangat. Keringat peluh dilihat meniti di wajah-wajah.



Solat terawih pertama.

" Jom, hari ni kita pergi solat terawih dekat masjid wehdah. Jom ramai-ramai kita pergi.." Ceria seorang senior yang juga jiran rumah baharu Muhammad mengajak semua berterawih pertama pada malam tersebut.

Alhamdulillah, malam itu mereka kali pertama solat terawih di perantauan. Berjalan bersama-sama pergi ke masjid sambil berkongsi rasa mengerat ukhwah.

" Korang, bulan ramadan ni, kalau boleh plan la baik-baik. Bukan apa, berdasarkan pengalaman abang, kalau tak dirancang pengisiannya betul-betul, bulan ramadan di sini yang dikatakan lebih baik dari di Malaysia, boleh jadi paling teruk pula nanti. Ini la masanya untuk timba pengalaman berharga. Kutiplah dengan budiman." Nasihat abang Zul kepada para juniornya.

Ada betulnya cakap abang Zul itu. Wajarlah dibuat perancangan yang terperinci untuk menjadi graduan ramadan yang benar-benar berkualiti.

Kita bukan hamba ramadan, tapi hamba kepada Pencipta ramadan.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
6.9.2012
6:59 a.m