4/24/12

Siri 11 : Cebisan Kain

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Berjalan-jalan dalam rumah sendiri. Letih mengadap buku saja, penat. Macam-macam ragam. Melihat kemeriahan bilik sebelah, Muhammad masuk tanpa ragu-ragu, meriah sungguh!

" Haii, meriah sungguh depa sembang, ni mesti ada isu best ni.." Muhammad menyelah dalam kemeriahan.

" Haa, biasa la kita, kalau isu nikah menikah ni memang riuh sungguh la.." Ammar menjawab dengan selamba sambil meneruskan kemeriahan.

Ustaz Najmi sibuk memotong kain aneka warna. Cantik, petak-petak patern coraknya. Ustaz Naim dan Ustaz Zaki masing-masing berborak mesra antara mereka. Mesra sungguh, ikatan usrah 'natural' memang tak dapat dinafikan lagi.

" Akh Najmi, enta beli kat mana kain-kain semua ni, cantik!" Muhammad mula bertanya.

" Ermm, alaa dekat ja dengan Darrasah, murah murah ja." Ustaz Najmi menjawab sambil menguntum senyuman.

" Ni duk gunting-gunting letak dalam kotak ni nak pos pergi mana ni, hantar kat bakal zaujah ka akh?" Sakat Muhammad.

" Aish, mana ada, saja la nak pos kat mak dengan adik perempuan ana, depa ada tempah hari tu, ni baru sempat nak beli tadi. Nak bungkus elok-elok, lepas tu boleh la pos terus ke Malaysia, rindu pulak kat depa." Terang Ustaz Najmi menyergah wajah ketenangan.

" Oh, ya ka, bagus la macam tu. Sejuk perut mak enta mengandungkan enta." Puji Muhammad kepada Ustaz Najmi.

Muhammad diam. Jauh di sudut hatinya, jauh fikirannya melayang.

" Agak-agak, boleh ka aku pos benda-benda macam tu. Kain-kain macam tu memang sah la orang buat tudung labuh. Tapi...... Wujudkah ahli-ahli keluargaku yang pakai tudung-tudung labuh ni, semuanya singkat semacam saja. Kalau ada pun hanya tok saja yang pakai tudung labuh ni. " Panjang dengusan hati Muhammad.

"Insya-Allah, moga-moga ada la nanti yang bertukar 'fesyen' tudung dalam keluarga. Atau, mungkin moga-moga peneman hidup juga jenis yang 'labuh-labuh' jugak. Sejuk di hati, sejuk di dunia, sejuk di akhirat."


"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Al-Ahzaab 33:59)


Penuh harapan di dadanya. Walau agak tinggi, namun tiada yang mustahil dengan kuasa dan hidayah Allah Subhanalla Ta'ala.

Sangat berharap, melayut harapan.

Berjalan kembali ke biliknya. Buka buku. Bertenang sebentar, mula ucap tama dengan sepatah dua doa dan selawat buat manusia yang paling dia cintai. Sambung study kembali dengan tenang.



Nota :

Darrasah = Universiti al-Azhar

Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypyt.


4/21/12

Q&A : Persoalan & Tips Temuduga Zakat Kedah

Assalamu'alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang




Entah mengapa, saya rasa segan dan tak layak sangat-sangat untuk tulis berkaitan perkara ini. Hingga hari ini saya masih lagi dalam fasa bersyukur kerana bukan sahaja pihak Jabatan Zakat Negeri Kedah ( JZNK ) memilih saya untuk terima biasiswa itu, bahkan Allah lah yang telah tentukan segalanya ke atas saya. Ya, saya rasa berat. Terlalu berat.

Melihat pelbagai soalan daripada adik-adik yang melimpah ruah dalam inbox saya, hati saya jadi cair pula untuk menjawab di sini. Saya cuba imagine kalau saya di tempat kalian semua, tentu saya agak kecewa dan hampa.

Insya-Allah, saya akan cuba jawab soalan-soalan yang ditanya semampu yang boleh dan berkongsi sedikit sebanyak tips.

Sebelum saya mulakan, saya ingin meminta anda baca dahulu catatan pengalaman saya satu ketika dahulu semasa melalui detik getir itu.

Temuduga Zakat Kedah

Baca betul-betul catatan tu dan insya-Allah anda akan nampak format interview daripada pihak Zakat Kedah macam mana. Ok, bagi persoalan format, selesai.


Q & A :


1) Soalan daripada Nazir Kamaludin :

Q : Assalamualaikum.. Abg Iqbal, saya lepasan SPM untuk 2011 ni.. Dan sangat sangat berminat untuk medic mesir ni.. Result saya sederhana ja, 3A+, 2A, 4A-. 2B+ (kimia bio A-, Fizik Admt B+).. Ex SMKAB.. Abg rasa saya layak dan boleh survive tak untuk medic mesir..

Ekceli saya hantar msg kat abg ni nak tnya tips tentang temuduga zakat kedah ni.. Sebenarnya x dipnggil temuduga lagi.. Tapi saya betul2 excited untuk ke sana.. So nak tau la pengalaman abg temuduga.. Mana tau kalau saya ada rezki untuk ke temuduga.. Better prepare awal2..
Boleh tak abg kongsi lagi tips temuduga tu.. Saya dah baca entry pengalaman abg tu.. Mmg best.. Tp saya nak tau detail lg.. Especially untuk soalan2 bahasa arab.. saya lemah sikit.. boleh abg cerita sikit..

Dan soalan2 pengetahuan umum tu.. Macam susah ja (=='')
Harap abang dapat membantu.. Hamba Allah ni teringin sangat nak ke bumi para anbiya'.. Btw, abg U Ainsham kan.. Memang kebanyakan bwh JZNK ke situ ka.. Sbb senior saya pun ke situ jugak bwh JZNK.. Ada tak yg ke Al Azhar/ Mansoura / Alex/ Tanta / Zagazig?
**Maaf mengganggu abg..

A :  Wa'alaikumussalam.

Ya, tahniah atas keputusan anda yang sangat excellent. Insya-Allah, kalau nak judge daripada result anda, insya-Allah boleh sangat dah tu.

Untuk persoalan bahasa arab, saya rasa baik anda study balik conversation yang mudah-mudah untuk memudahkan anda menjawab soalan nanti. Saya nak cakap lebih-lebih pun saya tak kena tanya soalan bahasa arab masa saya interview dulu. Cuba la prepare benda-benda yang basic, 'pada pendapat saya', 'saya rasa', 'saya setuju dengan tuan', 'saya suka sekian sekian'. Alah, perkara-perkara basic sahaja. Google translate pun ada kan, mudah saja.

Setahu saya, pihak JZNK hanya hantar pelajar perubatan tajaannya ke Ain Shams University. Segalanya ditentukan pihak JZNK. Kita hanya ikut saja arahan mereka. Sama saja kalau anda terima biasiswa JPA atau MARA, anda mesti ikut segala arahan mereka.

Insya-Allah, moga anda berjaya ^_^


2) Soalan daripada Mak Cik Noremah Abd Rashid

Q : assalamualaikum..ibnuDDin..mak cik nak minta tips sikit utk persiapan anak mak cik utk ke temuduga biasiswa zakat kedah ke mesir tu..boleh tolong? itu pun kalau Allah pilih di antara ratusan yg memohon..

A : Wa'alaikumussalam.

Pertama, minta maaf mak cik, saya lambat memberi jawapan kepada soalan mak cik.

Kedua, maaf juga sebab saya teringin nak cakap kepada mak cik bahawa nama saya ialah Muhammad Iqbal.  Jadi, saya lebih suka kalau orang panggil dengan nama saya yang sebenar. ibnuDDin hanya nama pena saya, hanya di alam penulisan sahaja. Maaf andai saya terkasar ^_^

Insya-Allah saya akan berikan tips untuk anak mak cik selepas ini. Insya-Allah, berkat doa mak cik, anak mak cik boleh berjaya dalam interview tu.


3 ) Soalan daripada Hazmie Faris

Q : hurm.. dia byk tnya sal apa interview zakat nih??

A : Segalanya berdasarkan panel-panel. Soalan kepada anda akan diolah berdasarkan jawpan apa yang anda berikan kepada mereka. Soalan yang biasa-biasa macam 'introduce yourself' atau yang lain tu mesti la ada kan, buat la latihan bercakap sendiri bagi lancar sikit speaking. Bagi penel-panel tu semua yakin sikit tengok kita speaking walaupun lemah untuk jawab soalan spontan, bagi la bab-bab basic macam tu kita fluent sikit.


4 ) Soalan daripada  محمد أفيق محمد أخير

Q : assalamualaikum...biasiswa zakat ni pentingkan pelajar straight a ka? klu sy yg x straight a ada harapan x? tk

A : Wa'alaikumussalam.

Bagi saya, pihak Zakat Kedah tak terlalu pentingkan straight A sangat, tapi lebih pentingkan kemampuan dan kebolehan yang anda tonjolkan semasa sesi temuduga.

Ya, benar. Saya sendiri pun tak straight A, namun Allah berikan saya peluang untuk merasa cebisan nikmat harta Zakat yang sangat berkat ini. Andai straight A tapi tiada kualiti, baik yang yang hampir straight A tapi berkualiti kan, just my opinion. Walaubagaimanapun, straight A merupakan bonus besar buat anda.




Tips-tips



1 ) Niat

Nampak mudah, namun inilah corenya. Andai niat anda hanya mahu berseronok sahaja dengan duit biasiswa, saya rasa memang kena perbaharui niat anda. Kerana, ianya tak akan ke mana pun. Hanya sementara. Segalanya, biarlah diniatkan ke arah mendapat reda dan rahmat Allah Subhanallah Ta'ala. Ingat, bidang perubatan bukanlah sesuatu yang mudah. Fikirlah banyak kali, lakukan istikharah minta petunjuk Allah untuk pilih bidang ini.


2 ) Banyak membaca

Baca apa sahaja, isu semasa atau apa sahaja. Tak kira English atau Bahasa Melayu. Memang kena banyak baca, sebab insya-Allah ianya akan dapat buka minda anda untuk berfikir dengan lebih matang dan jauh lagi. Biar knowledge kita banyak sikit.


3 ) Speaking

Jujur saya cakap, saya bukanlah jenis yang cakap english bagai Kereta Api CRH2 yang kat China tu, laju betul. Saya hanya budak kampung, cakap pun ulu saja. Namun, semua tu bukan alasan, saya banyak tiru gaya mat saleh cakap dalam filem atau talk show. Masih tak terlalu mantap, saya cari kelas spoken english untuk cuba fasih dalam berbahasa inggeris. Saya cari sendiri ye, pergi sendiri. Saya cuba dan terus cuba, hatta hingga sekarang sekali pun.

Jadi, cakap english masa dalam interview biarlah mantap sikit. Jangan disebabkan anda juga orang kampung seperti saya, anda mahu mengalah.


4 ) Bina Keyakinan

Serius, perkara ini memang perlu masa dan perlu di bina. Anda perlu jadi berani. Perlu bertindak sendiri, tak boleh harapkan orang lain nak tolong push kan untuk anda. Gerak sendiri, jalan sendiri, lari sekuat hati sendiri. Saya pun jenis nervous tahap dahsyat jugak, tapi saya usaha untuk atasi semua tu, insya-Allah Allah pasti bantu andai niat anda betul dan baik.


5 ) Pakaian

Sila pakai pakaian yang sangat kemas pada hari itu. Bawa sekali blazer, kot, tali leher dan yang seangkatan dengannya. Kasut biar berkilat dan lebih bagus kalau bersongkok tanda kemelayuan anda. Ingat bawa, jangan jadi macam saya kena pinjam yang orang lain pulak, namun semua tu kenangan indah buat saya, biar ianya tinggal sejarah.


6 ) Eye contact

Saya rasa ini juga penting. Ketika soalan ditanya bertalu-talu, jangan gelabah, Allah ada. Senyum. Pandang muka panel-panel penemuduga dengan penuh yakin dan jawab dengan jawapan yang terbaik. Kurangkan pandang ke tempat lain. Pandang terus ke mata si penemuduga.


7 ) Jaga hubungan baik dengan Allah

Dialah punca segala rezeki, punca segala kejayaan. Jangan segan silu untuk berdoa kepada-Nya, jangan jemu untuk berdoa selepas solat. Hanya Allah dapat bantu anda, tiada lain. Yang lain itu hanya ikhtiar anda. Rajin solat hajat, solat tahujjud, solat dhuha, baca yasin atau sebagainya. Jaga sungguh-sunguh hubungan kita dengan Allah. Jangan buat apa yang Dia murkai.

Rezeki kita bukan terletak pada si penemuduga, tetapi di tangan Allah. Pintalah kepada-Nya.

Berserah kepada Allah. Bertawakal setelah anda cuba yang terbaik daripada Allah. Terima sahaja apa yang Allah tetapkan. Segalanya pasti ada hikmah buat hikmah. Perlu yakin dengan semua itu.


# Buat kalian semua, selamat berjaya semuanya. Insya-Allah, setiap usaha yang disulami niat yang baik akan dibalas juga dengan ganjaran yang hebat. Berusahalah sebaik mungkin.

# Ini tips-tips daripada Abg Solihin untuk kami dulu : UTP dan Zakatkedah Interview Guide


Wallahua'lam.




Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




4/12/12

Cerpen : Menggigit Kemanisan


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



[Cerpen]

Tingkap dibuka. Angin menyerbu laju. Amru memejam matanya, selam nafas dalam-dalam. Lihat taman hijau di hadapan rumah, walaupun tak terlalu besar tapi cukup untuk tenangkan mata. Tenang rasa melihat kehijauan alam ciptaan-Nya. Keserabutan mengahafaz fakta-fakta biochem hilang sebentar. Lihat anak-anak kecil arab berlari-lari dijalanan. Minda melayang menerawang ingatkan adik-adiknya di Malaysia.

“ Assalamualaikum…” Ucap Hisyam Kamil sambil menyelak daun pintu.

“ Wa’alaikumussalam, kau pergi mana tadi, tiba-tiba saja hilang?” Balas Amru sambil memusingkan badannya mengadap pintu masuk.

“ Dah habis ke study?  Tadi aku nampak kau khusyuk sangat baca biochem tu. Malas la nak ganggu, takut ‘gunung berapi’ meletup pulak nanti…”

“ Oh ye ke, tak perasan pulak tadi. Saja la nak regangkan balik urat otak aku ni, rasa dah tepu sangat dah ni..”

Sunyi ketika. Hon kenderaan dijalanan masih bersahutan. Amru melabuhkan dirinya di tebing katil. Perlahan-lahan. Dia merenung sejenak.

“ Kenapa aku dah usaha macam-macam dah untuk exam, dah ikut apa yang kau nasihatkan, tapi result still sama je. Bersengkang mata setiap hari. Tak cukup dengan solat fardhu, aku tambah lagi solat-solat sunat lain. Bila orang mintak sedekah, aku bagi. Tapi result aku still hampeh. Allah…letihnya…..” Suara Amru memecah hening memulakan bicara yang tersekat sebantar tadi.

Hisyam Kamil perlahan-lahan duduk di tepi Amru. Sambil tangan kanannya mengusap belakang Amru.

“ Sabar sahabat. Mana kekentalan hati seorang Amru yang aku kenal dulu.”

Amru menunduk muka.

Mereka memang kenal sangat satu sama lain. Mereka bersahabat baik daripada tadika ke sekolah rendah, daripada sekolah rendah ke sekolah menengah dan akhirnya Allah masih menemukan  mereka hingga ke Mesir mengambil bidang perubatan. Namun, ketika sekolah menengah mereka tidaklah terlalu rapat kerana walaupun mereka bersekolah yang sama, mereka masih berbeza kelas dan bilik di asrama. Hisyam suka bergaul dengan kawan-kawan yang baik, tapi Amru lebih selesa berkawan dengan kawan-kawannya yang nakal. Lantaran itu, Amru tidak selalu bergaul mesra dengan Hisyam.

Mereka berdua memang terkenal dengan kepintaran mereka, sering kali berebut tempat pertama dan kedua dalam tingkatan satu ketika dahulu.

“ Kau yang gagah berani yang aku kenal, tak kan nak menyerah kalah macam tu je. Be strong..“

“ Arghh, kau cakap mudah la. Bukan kau yang hadapi, aku ni haa yang hadapi semua ni.” Amru sedikit berkeras sambil memanggung kembali wajahnya.

“ Astaghfirullahal’azim...” Hisyam beristighfar panjang.

“ Macam mana la aku boleh datang ke negara berdebu, penuh sampah sarap dan busuk hancing ni... Tak pernah pun aku apply ke sini dulu, aku apply study kat UK kot. Kenapa la aku kat sini!”

Suasana tegang. Seperti biasa, Hisyam Kamil masih tersenyum comel. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia tak suka mengeruhkan keadaan, sebalik lebih suka menjadi agen penjernih. Dialog mereka berdua berhenti beberapa saat, memberi ruang ketenangan mencelah.

“ Amru sahabatku. Ingatlah, jika kau yakin kepada Allah, kau tak akan katakan macam tu. Kau kena yakin Amru. Yakin yang Allah tak pernah salah memilih kita untuk belajar di bumi Anbiya’ ni."

“ Tapi, aku datang sini bukan nak belajar agama, aku nak belajar medik. Cukuplah aku belajar di sekolah agama yang dah banyak kongkong hidup aku”. Amru pantas memotong percakapan Hisyam, menyerlahkan lagi sifat memberontak dia.

Suasana jadi lebih tegang.

“ Islam tak pernah mengongkong hidup kita, tapi kita sendiri yang sebenarnya yang memenjarakan diri kita. Kita gagal untuk berjalan di atas landasan selamat yang Allah tetapkan. Semua kerana kita jahil, sombong pada ilmu. Dan ingatlah sahabat, ilmu Allah bukan sekadar ilmu medik kita pelajari saja, tetapi merangkumi semua. Ilmu Allah itu luas!” Hisyam bertegas dalam senyuman, sungguh mulia akhlak Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam yang di tunjukkan.

Udara bersih daripada sebarang gelombang bunyi. Senyap. Amru kembali tundukkan kepala.


Tersedar.

Hari demi hari berlalu. Fikiran semakin tajam apabila diasah dengan ilmu, hingga menuntut satu kematangan dalam berfikir. Hikmah yang dahulunya kabur di mata seorang Amru, kini kian menonjolkan dirinya. Sabar menanti hikmah buat segala yang berlaku, itulah yang sebenarnya dituntut.

“ Hisyam, malam ni ada kelas tafaqquh kan kat Markaz?” Sapa Amru dari belakang, sambil berjalan pulang ke rumah setelah selesai practical class.

Bersemangat Amru bila ada kelas pengajian, rasa berkobar-kobar nak menadah ilmu yang tak didapati dalam kuliah.

“ Aaah, ada kat Markaz yang dekat kuliah kita tu. Tapi, kau lupa sesuatu ke?” Jawab hisyam ringkas.

“ Lupa apa, aku tak dapat tangkap la..” Amru menggaru kepala yang tak gatal.

“ Esok kan ada exam, penting kot sebab carry mark untuk final exam nanti. Jadi, aku rasa aku tak pergi kot kelas tafaqquh tu sebab aku rasa aku belum banyak baca lagi buku. Aku hanya nak utamakan apa yang lebih utama, yang lebih prioriti. Kan kita dah belajar Fiqh Aulawiyyat dengan Ustaz Ihsan Mujahid dulu..”

“ Oh, betul jugak ye. Aku pun rasanya, banyak lagi tajuk yang belum dikuasai betul-betul. Utamakan yang lebih prioriti.” Wajah Amru makin mudah menguntum senyuman.


Cinta.

Abu Dawud dan At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah, maka kabarkanlah bahawa ia mencintainya.”

Skill masak-memasak di rumah makin handal. Dari ‘leceh’ kepada ‘master chef’! Sebab itu orang tua-tua kata, ‘ jangan benci, nanti melekat dihati!’. Maha Suci Allah yang membolak balikkan hati.

“ Subhanallah, bau pun dah tahu, ni mesti sedap ni..” Ujar Hisyam yang suka mengambil hati Amru.

“  Eh, mana tahu lagi, tak makan lagi pun. Cuba makan dulu, baru la komen..” Girang wajah Amru sambil tersenyum simpul.

Mereka mulakan makan malam itu dengan penuh ceria. Seindah ukhwah yang terbina. Indah segalanya jika dilakukan kerana Allah.

“ Hisyam, aku rasa aku berkenan la kat seorang akhawat tu. Sejuk la hati aku tengok dia.” 

“ Ye ke. Amru, cinta tu fitrah. Semua orang yang normal akan punya rasa macam tu. Cumanya, apa yang membezakan ialah, bagaimana cara kita mengawal perasaan kita itu. Ke lembah murka Allah atau ke jalan rahmat Allah.” 

Hisyam diam. Tangannya menjalar ke dalam poket. Satu coklat kegemaran Amru dikeluarkan. Hisyam memegang coklat itu, lalu bertanya kepada Amru.

“ Kau tahu tak bahawa coklat ni manis?”

Amru angguk.

“ Sekarang, kau dapat rasakan tak kemanisan coklat di tangan aku ni?”

Amru menggeleng.

“ Nah, kau ambil coklat kegemaran kau ni, buka bungkusannya dan makan.”


Amru nampak blur. Tak tahu apa yang ingin di sampaikan oleh Hisyam. Hanya ikut sahaja apa yang disuruh. Baca bismillah, Amru terus kunyah coklat itu hingga habis.

“ Sekarang, kau dapat tak rasa manis coklat tu?” Getus Hisyam.

“ Yup, of course la kan..” Jawab Amru sambil mengangguk.

“ Kau pernah dengar tak yang mencintai Allah dan Rasulullah tu terlalu manis, awesome sangat!”


Amru kembali mengangguk.

“ Kita memang selalu dengar, tapi adakah dengan mendengar sahaja kita dapat rasai kemanisan cinta kepada Allah dan Rasulullah? Sudi semestinya tidak. Sama la ketika aku pegang coklat kegemaran kau tadi, kau tahu coklat tu manis, tapi kau tak dapat rasa kemanisan menggigit coklat tu sebab kau tak ada usaha nak ambil coklat tu daripada aku.


Bila kau dah ambil coklat tu, buka, masukkan dalam mulut dan kunyah, baru kau dapat rasa betapa manisnya coklat tu sebagaimana yang telah diberitahu kepada kau. 


Ya, kalau kita tak ada usaha untuk rasai sendiri manisnya mencintai Allah dan Rasulullah, macam mana kita nak rasa kan? Buat apa yang Allah suruh, tinggalkan segala yang dilarang. Ikut sunnah Rasulullah yang banyak telah ditinggalkan pada akhir zaman ni. Kita kena rasai sendiri!” Panjang Hisyam huraikan segala tindakan dia tadi.

“ Aku cuma nak alih cinta kita. Bagaimana cara kita kawal cinta kita. Cintailah Allah dan Rasulullah dahulu. Moga-moga Allah kurniakan juga buat kita pasangan hidup yang juga cintakan Allah dan Rasulullah melebihi cintakan kita.” Tambah Hisyam.

“ Subhanallah, bernas analogi kau. Baru aku nampak sekarang. Jazakallahukhairan sahabat!” Amru senyum lebar.

Selesai makan. Amru dan Hisyam kembali study di bilik masing-masing. Lima minit selepas itu, Hisyam nampak handphonenya berkelip-kelip tanda ada mesej masuk. Nampak nama Amru tertera. Hisyam terus membuka mesej tersebut.

“ Salam. Hisyam, aku dah lama nak cakap benda ni. Nak cakap depan kau aku segan. Jadi, aku mesej je la ye. Uhibbuka fillah! (^_^)”

Hisyam senyum seorang. Buka new message dan reply.

“ W’slm. Aku pun sama, segan. Aku pun nak cakap jugak sebenarnya. Uhibbuka fillah! Hehe ^_^.” Ringkas mesej Hisyam.

Andai sudah menggigit kemanisan mencintai Allah dan Rasulullah, pasti mahu terus menelannya. Andai tahu kemanisan berukhwah kerana Allah, pasti akan terus menggigit kemanisan itu!





Wallahua'lam



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


4/9/12

For Future Doctors

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ketika sesi soal jawab berlangsung.


Mutiara ilmu dari Fadhilah al-Sheikh Dr. Yusri Rushdi Syed Jabr Al-Hasani.


Slot forum bersama Sheikh Dr. Yusri Sayyid al-Jabr dan Ust. Nazrul Nasir sebagai penterjemah.

1. Adalah perlu bagi penuntut ilmu perubatan belajar dengan penuh tanggungjawab sehingga dia menjadi pakar dalam bidangnya. Ketika ayahku meninggal ketika aku masih belum tamat pengajian perubatan, aku terfikir untuk keluar bekerja dan mengumpul duit. Syaitan sentiasa mendorong berbuat demikian namun aku mengambil keputusan untut tetap meneruskan pengajian walaupun dalam keadaan payah. Imam Syafie berkata: Jika kamu meninggalkan seorang guru ketika belum sampai masanya, maka Allah akan haramkan kebaikan padamu. Menuntut ilmu memerlukan masa yang panjang dan kecerdikan (zakiyy)

2. Seorang doktor Muslim perlu menguasai ilmu qawaid fiqhiyyah dan qawaid tibbiyah. Perlu juga menguasai maqasid syari’yyah iaitu menjaga akal, harta, agama, maruah dan nasab. Contohnya dalam masalah percampuran nasab seperti bank sperma, ini dilakukan oleh mereka yang jahil dan tak beriman kepada Allah. Tak patut bagi seorang doktor Muslim melakukan demikian kerana kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam.

3. Seorang guru kamu yang mahir dalam ilmu perubatan umpama syeikh kamu dalam agama. Bersungguh-sungguhlah menuntut ilmu daripadanya.

4. Doktor Muslim perlu menguasai sepenuhnya ilmu perubatan. Jika dia mengambil keputusan untuk membedah seorang pesakit, padahal ada cara lain yang lebih baik untuk merawat pesakit tersebut, tetapi tidak diketahui oleh doktor tersebut lantaran kurang ilmunya, maka dia akan disoal di hadapan Allah di akhirat nanti. Doktor perlu tahu sejauh mana keperluan untuk melakukan pembedahan atau tidak, terutama kepada pesakit yang datang yang minta dibedah untuk mengubah ciptaan Allah. (pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan). Doktor Muslim tersebut perlu mengetahui hukum dan menasihati pesakit tersebut dengan baik.

5. Doktor Muslim perlu menghormati manusia sebagai ciptaan Allah. Sebenarnya, kebanyakan ilmu perubatan yang dipelajari hari ini diambil dari fahaman Barat yang menganggap manusia umpama sekeping daging yang tak berguna, bukan makhluk Allah yang perlu dihormati. Kita perlu perbetulkan kembali fahaman yang salah ini. Hubungan dengan pesakit adalah hubungan kasih sayang dan rahmah dengan makhluk Allah, bukan merawat dengan tujuan untuk membuat uji kaji atau bereksperimen. Anggaplah pesakit umpama diri kita sendiri yang perlu ditolong, pasti kita akan memberikan rawatan yang terbaik.

6. Doktor Muslim perlu arif dengan perkembangan terkini dan semasa ilmu perubatan, kerana ilmu ini berkembang dengan pesat, serta kaitkannya dengan hukum agama.

7. Doktor wajib menjaga rahsia dan aurat pesakit, dilarang berdua-duaan dengan pesakit yang berlainan jantina. Buka aurat untuk pemeriksaan sekadar perlu atau darurat atau jika tak dapat dielakkan sahaja.

8. Pastikan doktor Muslim ini berbeza dengan doktor bukan Islam. Kamu bukan dijadikan untuk dunia, tetapi kamu dijadikan untuk akhirat. Rezeki sudah ditentukan Allah, itqan (bersungguh-sungguh) dalam pekerjaanmu itulah yang dituntut. Hikam Ibhu A’thaillah menyebut: kamu sibuk dengan perkara yang telah ditentukan (rezeki), dan menjauhkan diri dari perkara yang dituntut (bersungguh-sungguh) adalah dalil Allah mencabut pandangan baik dari jiwa kamu.

9. Saidina Ali meyebut; Kedudukan seseorang adalah pada apa yang dia kuasai, bukan apa yang dia miliki. Apa yang mampu kita beri pada orang lain itu lebih baik daripada apa yang kita miliki.

10. Penting bagi seorang doktor Muslim terlibat dengan misi kemanusiaan. Aku pernah bertanya kepada Dr. Abdul Qadir Qutb, seorang pakar pembedahan tentang bagaimana untuk menjadi hebat dalam bidang ini? Beliau menjawab: Mahu tak mahu, kamu perlu terlibat dalam misi peperangan, maka kamu akan mendapat pengalaman umpama kamu terlibat dalam ilmu perubatan selama 20 tahun.

11. Ketika terpilih untuk misi kemanusiaan di sempadan Afghanistan,aku sempat merawat 150 orang pesakit. Seorang doctor Afghanistan merasa kagum lantaran banyak pembedahan yang aku lakukan berjaya. Beliau bertanya apakah rahsianya dan aku menjawab; Aku bukan membuatnya dengan tangan, tetapi aku membuatnya dengan hati.

12. Pesanan untuk pelajar perubatan; tuntutlah ilmu untuk mencari redha Allah, bukan tujuan untuk dipandang manusia. Ilmu perubatan adalah ilmu yang bermanfaat untuk manusia. Tanda menuntut ilmu kerana Allah: panjang masanya, bersungguh-sungguh, rendah diri kepada sahabat2 dan pesakit, hormati guru yang mengajar kita. Kekallah dengan apa yang telah ditentukan Allah, itu adalah tanda wali Allah

~Manusia adalah ciptaan Allah yang agung, jadi persediaan untuk merawat makhluk Allah ini perlulah hebat.


* * * * * * * * *


Slot Soal Jawab :


S: Ada sebahagian daripada kita yang masuk bidang perubatan untuk mendapatkan status tinggi di kalangan masyarakat. Tak kurang juga kerana harta atau perkara duniawi lain seperti harta kekayaan, Nobel Price dsb. Apa pendapat Sheikh jika ia dilakukan dengan alasan supaya mudah untuk berdakwah dan infaq fi sabilillah nanti?

J: Sebab itu sangat perlu kepada tajdid niat (pembaharuan niat). Kebanyakan orang beralasan begitu hanya sekadar kerana mahu menjustifikasi keinginannya untuk menjadi kaya dan terkenal. Sebaik mana pun niat kamu, ia tidak menghalalkan perbuatan kamu mengambil duit daripada pesakit lebih daripada kadarnya.

Bagaimana jika pesakit seorang yang miskin dan tiada duit? Adakah kamu tak akan merawatnya?

Tiada gunanya mengejar sesuatu yang telahpun ditetapkan untuk kamu (harta) tetapi meninggalkan apa yang sepatutnya perlu dikejar dan diusahakan (kepakaran).

Sebelum hidup selesa, perlu melalui satu tempoh yang penuh dengan cabaran. Yang penting ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Insya Allah, Tuhan akan menjamin rezeki kamu kelak.


*   *   *  *

S: Apakah sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang doktor untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam bidangnya?

J: Pertama, sifat rahmah. Pandang semua makhluk Allah dengan kasih sayang. Hormati semua pesakit sesuai dengan status mereka sebagai manusia, bukannya sekadar sekeping daging.

Kedua, tawaduk dan rendah diri, sama ada kepada pesakit mahupun sesama rakan sekerja. Jangan hanya kerana kamu merasa ilmu kamu dah cukup tinggi, kamu bersikap sombong kepada mereka. Ilmu ini milik Allah dan kamu tidak layak untuk berbangga, sedangkan kita tak tahu berapa ramai yang lebih tinggi ilmunya daripada kita.

Ketiga, amanah kepada pesakit. Jika kita tak tahu, katakan tak tahu dan jangan buat-buat tahu. Refer pesakit kepada mereka yang lebih pakar.

Keempat, jangan kejarkan harta duniawi, kerana rezeki telahpun ditetapkan oleh Allah. Jika Allah nak bagi, larilah macam mana pun, tetap akan sampai rezeki tersebut. Sebaliknya jika Allah tak nak bagi, carilah macam mana pun, tetap tidak akan diberikan kepada kita.

Allah menjamin rezeki kita, tetapi tidak menjamin kepakaran kita. Maka utamakan apa yang perlu dicari terlebih dahulu dan yakin dengan Allah Taala.


Dataran Hayyu A’syir,
7 April 2012.

Sumber catatan : Rakan-rakan facebook.

*   *   *   *


Biodata Sheikh Dr. Yusri Rushdi Syed Jabr Al-Hasani



Sheikh Dr. Yusri Rushdi Syed Jabr Al-Hasani merupakan contoh terbaik seorang muslim yang dapat menggabungkan bidang profesional dan agama. Merupakan seorang doktor pakar dalam bidang pembedahan, dalam masa yang sama merupakan seorang Alim yang pakar dalam bidang hadis, feqh, qiraat selepas menuntut ilmu dari ulama-ulama besar dunia dan mendapat ijazah syariah daripada Universiti al-Azhar.

 Sheikh memulakan kehidupan setiap hari dengan majlis zikir dan pembacaan hadis dengan muridnya kemudian bekerja sebagai seorang pakar bedah. Pernah dihantar ke beberapa negara untuk bantuan perubatan ke Afghanistan bersama pengamal perubatan dari seluruh dunia. Pernah berdakwah ke beberapa negara termasuk Malaysia. Sheikh mengajar Sahih Bukhari di Masjid Azhar setiap Sabtu dan pengajian kutub sittah setiap pagi.



Nama penuh guru kita yang mulia ini ialah Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani. Berpegang teguh dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah, bermazhab Syafi'ie, berpegang dengan tariqat as-Siddiqi melalui susur galur tariqat as-Syazuli.

Dilahirkan pada 25 Muharram 1374 H bersamaan 23 September 1954 M di Hayyu Raudhul Faraj, Kaherah. Beliau memulakan alam persekolahan di sekolah kerajaan sehinggalah menyambungkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah dan mendapat pangkat 'Jayyid Jiddan' pada Disember 1978. Kemudian beliau mendapat Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang 'Pembedahan Am dan Pembedahan الأوعية الدموية ( Saluran Darah ) juga dari Universiti Kaherah pada November 1983 dan beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam 'Pembedahan Am' juga dari Universiti yang sama pada Mei 1991. Kemudian beliau meneruskan pengajian di bidang syariah (B.A) dalam kuliah Syariah wal Qanun, Universiti Al-Azhar pada tahun 1992 dan mendapat pangkat 'Jayyid Jiddan' pada tahun 1997.


Beliau mula menghafaz al-quran dengan riwayat Hafs 'an 'Asim semasa dalam pengajian di kulah perubatan melalui guru beliau Fadhilat as-Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Salam Khatir (sekarang bertugas sebagai panel rujukan al-Quran al-kareem di Madinah) dan berjaya mengkhatamkannya secara hafazan pada tahun 1985. Guru al-Quran beliau yang lain ialah Syeikh Muhammad Adam, Syeikh Muhammad Badawi as-Sayyid yang bersambung sanad mereka dengan Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم melalui Saidina Jibril alaihissalam dari Luh Mahfuz dari Allah سبحا نه وتعالى .

Beliau mempunyai ramai guru dalam disiplin ilmu agama, antaranya:

1. Syeikh Hafiz at-Tijani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatto' Imam Malik selama 2 tahun (1976-1978)

2. Syeikh Muhammad Najib al-Muti'ie rahimahullah (pelengkap kepada kitab al-Majmu' bisyarhil al-Muhazzab), beliau menghadiri pengajian Sahih al-Bukhari dan kitab-kitab fiqh Syafi'ie, beliau juga mendapat sanad hadis dan fiqh ketika pengajian di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA).

3. Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab as-Syamaa-il lit-Tirmizi, al-Muwatto' Imam Malik, al-Luma' fi Ilmi al-Usul yang dibacakan oleh Syeikh Dr Ali Jum'ah (Mufti Mesir sekarang). Beliau mengambil sanad tariqat as-Siddiqi ad-Darqawiyah as-Syazuliyyah dari gurunya ini.

4. Syeikh Ahmad al-Mursi an-Naqsyabandi rahimahullah, salah seorang dari ulama Al-Azhar. Beliau kerap menziarahinya dan mengambil banyak faedah darinya.

5. Syeikh Isma'il Sodiq al-Adawi rahimahullah, bekas imam besar Masjid Al-Azhar. Beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatto' dan tafsir sebahagian surah dari al-Quran. Beliau sentiasa bersama dengan gurunya ini untuk beberapa tahun dan sering bermusafir bersama ke pedalaman Mesir untuk ziarah para solihin. Beliau banyak mempelajari mengenai hakikat ilmu tasawuf darinya.


6. Fadhilah al-Ustaz ad-Duktur Nuruddin Ali Jum'ah hafizahullah (Mufti Mesir sekarang), juga sahabat seperguruan beliau dengan Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah.


7. Fadhilah al-Ustaz al-Imam Muhammad Zaki Ibrahim al-Husaini rahimahullah (foto kanan)

8. Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani

rahimahullah.

9. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Baa'iets al-Husaini al-Kittani hafizahullah, muhaddis dan musnid Iskandariah.

10. Fadhilah al-Ustaz ad-Dr. Muhammad Rabi'e al-Jauhari hafizahullah (mantan Dekan Kuliah Usuluddin, Univ. al-Azhar).

11. Fadhilah as-Syeikh al-Habib Ali al-Jufri hafizahullah

12. Fadhilah al-Ustaz Hassan Osman hafizahullah.

dan ramai lagi guru-guru beliau.




 Dr. Yusri sedang melakukan pembedahan

Jawatan beliau sekarang ialah Penasihat dan Ketua Jabatan Pembedahan Am dan الأوعية الدموية di Hospital Ahmad Mahir at-Ta'limi, Kaherah. Beliau juga merupakan imam dan khatib di Masjid Al-Asyraf, Hayyu al-Muqattam.


Sumber Biodata : 1 & 2

*     *    *    *    *     *     *


# Program tersebut merupakan program Fiqh Perubatan Anjuran OPU Ain Shams University. Tahniah kepada yang menjayakan program sebegini.

Status fb Ustaz Nazrul :

" Tahniah diucapkan pada Adik2 Perubatan Ain Syams yang berjaya menganjurkan majlis ilmu yang saya kira sgt memberi kesan bukan hanya kepada pelajar Perubatan, tetapi turut memberi kesan kepada para pelajar jurusan pengajian Islam al-Azhar.

Syaikhuna Murabbi Dr Yusri sbntr tadi memberitahu kepada saya, bahawa beliau tidak pernah menceritakan pengalaman hidupnya secara terperinci kepada sesiapa pun melainkan pada malam ini ;)

Tahniah Saya ucapkan.. Kalian berusahalah menjadi salah seorang doktor yang pakar dan dalam masa yang sama jauhkan daripada pemikiran pening Wahabi dan Syiah serta intima'lah dgn perjuangan Islam..Siiru A'la Barakatillah ;) "

# Saya dengan ingin ini rasa sangat rugi kerana tidak hadir ke majlis ilmu yang sangat hebat itu. Bukan kerana malas atau culas tetapi disebabkan ada peperiksaan pada pagi esoknya itu. Moga ada lagi program bersama Syeikh selepas ini. Oh, saya sangat berharap =.='

# Pada masa lapang, saya insya-Allah pergi ke kuliah pengajian beliau di Muqattam. Beliau antara orang yang saya sangat kagumi apabila saya jejakkan kaki di bumi anbiya' ini. Sangat kagum!

# Saya letakkan semua ini di blog supaya saya dan sahabat-sahabat akan sentiasa ingat akan segala mutiara ilmu Syeikh.

Moga bermanfaat buat semua.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


4/6/12

Cerpen : Online

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Amin Zaki duduk di bangku kuliah. Pejam mata, rehat minda sebentar. Letih sedikit. Tak lama kemudian, berderu kawan-kawannya yang lain datang memenuhi dewan kuliah.

Hisyam Kamil dan Amru laju duduk di sisi Amin Zaki. Mereka berkawan baik. Ke mana sahaja pasti bertiga. Walau ada yang berbeza asal negeri dan fikrah, mereka masih boleh bersama atas nama ukhwah Islamiah.

 " Amin, kau tengok tak berita banjir kat Kedah semalam, dahsyat sungguh kan". Amru bibitkan buah mula kalamnya.

" Err, ya ka, aku tak tau la pulak, hang tengok kat mana berita tu." Amin pantas merespon.

" Laaa, kau ni nama je orang Kedah, tapi tak tahu pun pasal negeri sendiri. Hmm, aku tengok kat facebook semalam, ada orang post, sape ntah." 

Hisyam Kamil hanya memerhati dan mendengar perbualan dua orang sahabatnya itu.

" Kau ni Amin, ada facebook, tapi online sebulan sekali. Tak ada 'life' la hidup kau... Orang sekarang rasa macam facebook tu penting sangat kot. Kalau tak dak facebook, rasa macam tak lengkap je hari tu." Leter Amru kepada Amin.

Amin tersenyum simpul. Diam tak memberi respons.

Kali ini, Hisyam turut ternyum dengan lebih extreme. Dia kenal benar dengan kawannya si Amin tu. Bersekolah sejak tadika lagi.

Hisyam faham kenapa Amin tak selalu online. Kata-kata Amin masih hijau di benaknya.

Katanya, " Aku bukan tak mau online, tapi aku takut tertengok benda yang tak patut aku tengok. Aku rasa hang faham kan. Tak payah la aku nak hurai panjang-panjang. "

Amin memang begitu, tawadduk orangnya. Dua bebola hitam putihnya dijaga rapi sejak kecil. Allah pelihara dia. Hafazan dia usah la ditandingi, macam mesin fotostat, sekali dua tengok dah boleh hafaz, hebat!. Doanya bukan sebarang doa, doa yang sememangnya berkat dan tajam!

Hingga kini, Hisyam masih berkawan rapat dengan Amin. Malah, di Mesir ini pun mereka serumah. Hisyam sangat faham dengan Amin ni. Kekagumannya tak pernah kering, cuma tak dibasahkan melalui lidah saja. Amin melarang Hisyam memuji dirinya, takut-takut membawa dirinya ke lembah riak. Kalau diberii pujian kepada si Amin, mesti dia marah.

" Kau nak bunuh aku ke puji aku ni? Tak payah la nak puji aku lebih-lebih. Pujilah kepada yang berhak dipuji, Allah Jalla wa 'Ala!" Marahnya, tapi masih tersenyum cute.

Hisyam tahu yang Amin memang jarang online di mata orang lain. Tapi pada matanya, Amin online setiap hari. Hampir setiap malam dia 'online' bersama Tuhannya. Tidur awal, bangun awal. Kejutkan ahli rumahnya yang lain. Namun, tak semua kuat sepertinya, ramai yang culas.

Tak perlu mengeji orang yang tak online fb, kalau diri sendiri pun tak khusyuk saat 'online' bersama Allah.


" Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alaihi wasallam tidur pada awal malam dan bangun di akhir malam."
( Hadis Riwayat Bukhari ; 1146 )





# Kisah ini hanya rekaan semata-mata sehati-hati. Moga ada manfaat.


Wallahua'lam.



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.