12/3/12

Cerpen : Dua Down


Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


[Cerpen]

Seorang namanya Amir. Seorang lagi namanya Amran. Amir yang bermata sepet iras Jackie Chan, merangkap abang kepada Amran. Kedua-dua mereka, punya ikatan adik-beradik yang kuat. Semuanya mahu bersama-sama, sungguh hebat ikatan mereka. Mereka pantas berlari, cergas meloncat ke sana sini, aktif memanjat geriji besi yang terkunci rapi.

Saya sudah lali melihat gelagat-gelagat mereka, sudah biasa. Setiap kali ke rumah nenek mereka, begitulah keadaannya.

Sejak lahir, kedua-dua mereka terpilih menjadi insan istimewa. Memiliki muka yang seiras, mereka senasib dengan dengan rakan-rakan Down Syndrome yang lain. Akal mereka tidak seperti orang lain, punya sedikit keterbatasan, tidak sama dengan insan normal lain.

Tambah pula, mereka ini bukanlah yang jenis biasa-biasa, tetapi dikurniakan juga hyperaktif. Selalu sahaja berlari ke sana sini, sukar mahu berhenti. Kita yang melihat, kadang-kadang rasa lebih letih daripada mereka.


Di sebalik mereka.

Siapa sangka, dua anak ini diuji dibawah sedar, dengan keterbatasan akal fikiran mereka. Ayah mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja mencari rezeki halal buat mereka.

Ibu mereka, selepas setahun kelahiran Amran, bercerai dengan suaminya. Si ayah redha dan terus menjaga anak-anak istimewa mereka itu. Selepas itu, tiada lagi jengukan dan perkhabaran dari ibu mereka.

Ketika ayah mereka keluar bekerja, sang neneklah yang akan menjaga mereka. Walau bagaimanapun, sang nenek tak pernah mengeluh, tetapi lebih kerap menyebar senyuman buat kedua-dua anak istimewa itu.

Kini, tenaga pengurusan yang menguruskan mereka hanyalah nenek mereka. Selepas kematian ayah mereka, semua bebanan jatuh kepada sang nenek. Siapa sangka, ayah mereka pergi dipanggil Ilahi dengan usia begitu  muda dan langsung tidak dijangkakan. Betullah, umur bukanlah syarat untuk sebuah kematian.


Nenek.

Setelah bertahun-tahun membesarkan enam orang anak normal, kini Allah berikan dia satu lagi peluang emas menabur jasa mengutip pahala untuk membesarkan dua lagi cucunya. Bahkan kini lebih perit, membesarkan dua insan istimewa dalam keadaan diri sudah dimamah usia.

Dekat dikalbunya, dia redha dengan ketentuan-Nya. Menganggap ini pelabuaran berharga yang dikurniakan Allah, dia curahkan sepenuhnya kasih sayang kepada dua cucunya itu.

Setiap kali saya melihat wajah si nenek, saya nampak betapa peritnya hidup seorang wanita tua yang sudah lama ketiadaan suaminya, membesarkan dua orang insan Down Syndrome itu.

Paginya, dimulakan membuat sarapan untuk mereka berdua. Sang abang mahu makan nasi dengan dua biji  telur dadar. Si adik mahu makan paha ayam goreng dengan kuah kari. Itulah makanan kegemaran mereka. Sang nenek tanpa jemu, setiap hari menjamu kedua-dua cucunya.

Selepas makan dan bersiap, sang nenek menghantar mereka ke sekolah khas. Sekolah khas yang dibiayai pebuh oleh kerajaan. Dengan harapan, mereka dapat pelajari sesuatu yang baharu di sana dan dapat jadi insan berguna suatu hari nanti.

Mujurlah Amir kini sudah pandai mengayuh basikal sendiri atas didikan susah payah pak cik mereka pada cuti semester yang lalu. Maka lebih mudahlah sang nenek menghantar mereka ke sekolah.

Si nenek tak mampu untuk membeli motosikal atau kereta. Duit pencen suaminya hanya cukup-cukup makan sahaja. Lalu, kenderaan yang mampu digunakan ialah basikal mini dan sebuah basikal kecil untuk Amir. Itupun, mujurlah ada yang sudi untuk menghulurkan bantuan.

Setiap pagi, sang nenek akan mengayuh basikal sambil dipeluk kuat Amran di belakang. Manakala Amir mengekori neneknya di belakang dengan basikalnya.

Mata saya ketika pertama kali menyaksikan semua ini, bagaikan mahu menangis di situ sahaja. Subhanallah, sungguh tabah hatinya.


Doa nenek.

Si nenek tahu, Allah tak akan bebankan dengan apa yang tidak mampu dia tanggung. Lalu dengan itu, dia bersungguh-sungguh membesarkan anak-anak itu.

Letih bagaimana pun, dia yakin dengan habuan yang dijanjikan Allah di akhirat sana.

" Mak Lang, macam mana Mak Lang boleh jaga dua orang hyperaktif ini, tak letih ke?" Saya tanya suatu pada suatu ketika.

Mak Lang dengan wajah sedikit berkedut, masih mampu mengukir senyuman.

" Kalau kita buat kerana manusia atau makhluk lain memanglah kita akan jadi penat, tapi kalau kita buat kerana Allah, insya-Allah tidak terasa sangat kepenatan itu. Yakin dengan segala percaturan Allah, yakin Allah akan bersama kita, Dia selalu tetapkan yang terbaik untuk kita. Kita sebagai hamba-Nya, perlu redha dengan-Nya, moga-moga Allah redha juga dengan segala yang kita buat. Bukankah hidup kita ini untuk capai redha Allah?" Jawab Mak Lang sambil menggoreng telur dadar buat Amir.

Gulp, saya terkedu. Hasyalilllah, sungguh tinggi keimanan wanita ini. Ini bahagian jihadnya dan dia akur dengan segalanya.

" Mak Lang selalu doakan mereka, agar jadi manusia yang berguna di dunia dan akhirat. Merekalah saham Mak Lang. Mak Lang tidak akan sia-siakan hidup mereka. Walau masyarakat asyik menghina mereka cacat, tetapi di mata Mak Lang, mereka sempurna. Bahkan dengan melihat mereka, hati kita boleh lihat betapa Allah itu maha kuasa dan kita sebagai hambanya, tiada apa-apa." Mak Lang menambah, ketika tangan laju membasuk pinggan-pinggan di dalam sinki.

Hati saya kagum dan kaget. Diam tidak membalas.


Satu Keajaiban.

Selepas beberapa tahun, satu kejadian besar berlaku. Ketika itu, Amir sudah pun berusia 15 tahun, manakala Amran sudah 13 tahun. Sudah besar panjang.

Kejadian berlaku ketika dalam perjalanan mereka ke sekolah khas. Seperti kebiasaan, si nenek membawa Amran, Amir membawa basikal baharu yang dibeli pak ciknya di belakang.

Namun, sesuatu yang tak diingini berlaku. Sebuah lori sampah bandar raya, secara tiba-tiba melanggar mereka dengan sungguh laju. Kesemua mereka dimasukkan ke hospital.

Si nenek sedar selepas dua jam terlantar di hospital. Namun, Amir dan Amran koma tidak sedarkan diri. Sang nenek tidak cedera terlalu parah, hanya luka sedikit di bahagian tangan dan kaki.

Amir dan Amran teruk dilanggar di bahagian tepi sebelah kanan. Hentakan kuat di kepala, membuatkan mereka koma hingga seminggu. Mereka ditempatkan dalam Intensive Care Unit ( ICU ) selama seminggu kerana keadaan mereka yang cedera di bahagian kepala yang agak serius.

" Mana Amir dan Amran? Bagaimana keadaan mereka? Mereka di mana?" Laju Mak Lang bertanya ketika dia mula sedar, sayu terlantar di atas katil.

" Mereka di ICU Mak Lang..." Pendek saya menjawab.

Air mata si nenek berguguran jatuh mebasahi bantal. Dengan penuh pengharapan, dia mengangkat tangan, lalu berdoa.

" Ya Allah, Engkau Maha Kuasa, Maha mengatur segalanya, Maha mengetahui segala hikmah, Engkau selamatkanlah dua orang cucuku itu. Sesungguhnya aku amat menyayangi mereka. Namun aku akan redha jika Engkau lebih sayangi mereka. "

Saya di situ tidak tertahan lagi, bercucuranlah air mata. Sebak yang teramat.

Selepas seminggu, mereka sedar. Ada sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Sangat ajaib. Maha Suci Allah atas segalanya.

Doktor mengatakan, otak mereka tidak ada sebarang masalah. Bahkan, otak mereka tidak lagi terencat, tetapi jadi normal seperti manusia lain.


Allah Sebaik-baik Pengatur.

Kini, selepas 20 tahun, mereka hidup normal seperti manusia lain. Tidak lagi terencat. Cuma wajah fizikal mereka, masih lagi sama seperti insan-insan Down Syndrome yang lain.

Mereka pada hari ini lebih istimewa daripada insan lain. Mereka jadi manusia pintar dan punya IQ yang tinggi, sama tingginya dengan manusia genius yang lain. Hari ini, kedua-dua orang mereka sudah menjadi manusia hebat. Keduanya-dua sudah benar-benar menjadi 'Orang Kelainan Upaya (OKU)', kerana mereka sudah dikurniakan Allah minda genius mengatasi manusia normal lain.

Subhanallah!

Mereka bukan sahaja menjadi graduan Oxford University, bahkan juga menjadi penghafaz al-Quran. Kedua-duanya berjaya menjadi doktor yang mampu berbakti buat ummah. Gencar membangunkan ummah, padu menyatukan ummah.

Di satu sudut, sang nenek tersenyum lebar melihat dua cucunya itu. Bangga dengan cucu-cucunya. Bersyukur kerana masih diberi peluang melihat cucu-cucunya ini berjaya di menara gading. Dengan harapan, mereka terus  menjadi insan berguna buat ummah dan tidak mudah lelah dengan segala mehnah.

Wallahua'lam.

# Ini hanyalah sebuah cerpen.



Muhammad Iqbal.
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
3.12.2012
10.51 a.m.




4 comments:

  1. apa maksud dua down? - dua org down syndrome eh?

    la hawla wa la quwwata ila billah.
    cerpen touching:)
    rasa mcm real.
    tp betul, tak ramai yg sanggup nak bela anak2 special - termasuk kanak2 sumbing.

    ramai yg kena hantar pusat jagaan, lepastu kena tinggal. parents tak sedar, anak itulah saham mereka nanti sbnrnya. dan tak susah pun jaga kanak2 special sbb tak byk kerenah cuma kadang2 kena ikut angin dia.

    splendid anyway.:)

    ReplyDelete
  2. Faris :

    Insya-Allah, doa-doakan moga istiqmah.

    ReplyDelete
  3. Syafawani :

    ya, dua down syndrome.

    menulis berdasarkan pemerhatian ana dan perkara realiti.

    ini intro sedikit untuk sebuah novel akan datang insya-Allah ^^

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter