10/29/12

Bahagia Iduladha

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Kehangatan hari raya aidiladha di kawasan tempat tinggal saya sudah dapat dirasai seminggu sebelum raya lagi. Lembu-lembu, unta-unta dan kambing-kambing mula berpeleseran mengeluarkan pelbagai bau-bauan masing-masing. Harga daging yang sebelum ini hanya layak dibeli orang kaya, tiba-tiba turun mendadak jadi murah.

Namun, saya masih hanya merasai kehangatan. Kuliah-kuliah di universiti masih berjalan seperti biasa, sibuk masih juga seperti biasa. Hangat dalam sibuk.

Perkataan sibuk itu, hanya untuk yang menyibukkan diri. Bagi yang genius, mereka lazimnya ada banyak masa kosong. Setiap orang tidak sama. Yang gifted inilah yang banyak menolong memeriahkan dan melaksanakan pelbagai kerja. Allah Maha Adil. Bersamalah kita menghormati dan memahami.


Malam Raya.

Kali ini merupakan malam raya di perantauan buat kali ketiga buat saya. Jika malam raya aidilfitri lepas, saya keseorangan, alhamdullillah untuk raya kali ini tidak lagi. Riang bersama sahabat-sahabat.

Walaupun agak sukar dan rasa bersalah nak lepaskan buku-buku tebal di atas meja, namun hati perlu redha berkorban untuk pulang ke perkampungan Hayyu 'Asyir di rumah Kedah di sana. Kalau dah bersama buku, payah nak lepaskan. Kalau dah tak bersama buku, sukar pula mahu kembali. Itu normal.

Malam raya, saya tidur di rumah Kedah Hayyu 'Asyir kerana niat di hati ingin beraya di sana dan juga memudahkan segala kerja-kerja melapah daging yang bakal dilakukan nanti.


Pagi.

Di rumah Kedah Hayyu 'Asyir, menjadi satu perkara yang normal jika berlaku ketiadaan air. Entah mengapa saya pun tidak tahu. Dan pada pagi raya juga, perkara yang sama terjadi. Mujurlah persiapan telah dilakukan, air-air telah disimpan. Maka, kuranglah sedikit masalahnya.

Seperti biasa, Suq Sayyarat yang sebelum ini menjadi medan penjualan kereta-kereta, akan menjadi medan untuk umat Islam dari seluruh pelosok dunia untuk solat raya di sini. Seawal jam 6.30 pagi, solat sunat aidiladha sudah bermula. Jika lambat, habislah.

Berpakaian raya dan terus menuju ke sana. Angkat sahaja takbir, rasa dunia bagaikan hilang di minda. Tenang. Bukan mudah nak dapat rasa yang begitu, tambah-tambah solat di atas jalan tar seperti itu.

Usai mendengar khutbah, adegan-adegan mengambil gambar kenangan terus dilakukan. Seronok.

Mungkin gambar-gambar ini akan muncul kembali selepas sepuluh tahun lagi untuk bercerita kembali detik-detik riang di bumi kinanah ini.

Bersama para asatizah.

Sahabat-sahabat asatizah.

Para junior Ain Shams.


Kopiah itu terlalu besar. Kopiah pinjaman seorang sahabat ustaz.

Bersama sahabat-sahabat ahli beit ( roomates )




Unta-unta sedang dilapah.


Selepas semua haiwan-haiwan korban telah disembelih, saya dan sahabat-sahabat lain yang ditugaskan untuk melapah, teruskan kerja-kerja kami. Mujur ada senior-senior, boleh juga tolong ajarkan kami yang kurang berpengalaman ini. Mereka memang cekap. Seronok dapat belajar sesuatu yang baharu.

Perkara istimewa jika dalam program PERUBATAN sebegini ialah jika cedera, ada Med Team yang akan tolong rawatkan. Mereka memang cekap. Tahniah saya ucapkan. Selamat jari saya yang terhiris oleh pisau tajam sang sahabat.

Sebelah petang, setelah siap dimasak, hadirin yang hadir untuk membantu segala kerja di sebelah pagi diberikan makanan. Sup daging dan masak kurma yang sedap dan agak pedas. Rasanya, daging yang digunakan ialah daging unta.


Hari kedua.

Hari kedua merupakan jamuan besar-besaran. Juga turut diadakan di Hayyu 'Asyir, selepas pembatalan tempat di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah ( DMAK ) atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Hari kedua ini juga nampak kemeriahannya. Ramai pelajar-pelajar perubatan seluruh Kaherah hadir untuk memeriahkan suasana. Ada banyak juga program dan persembahan yang berlangsung.

Tak terlepas, banyak juga booth yang di sediakan, agak menarik. Dapat juga saya ambil buku Attachment Logbook yang dah lama tertangguh pengambilannya. Penting buku itu untuk digunakan jika ingin membuat elective posting atau attachment di mana-mana hospital di Malaysia nanti.


Laporan lama.

Sudah lama sebenarnya saya tak bercerita dalam keadaan seperti ini. Selalunya, saya akan bercerita, tetapi dalam bentuk lain. Mungkin sebab ada ahli keluarga yang suruh ceritakan, jadi saya buatlah untuk tatapan umum.

Apapun, moga ini bermanfaat buat semua.


Wallahua'alam.



Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
29 Oktober 2012
11:10 a.m



2 comments:

  1. Sama2 meriah raya AidilAdha anak perantauan, tak kiralah Mesir mahupun Jordan. Pengalaman mematangkan kita.

    ReplyDelete
  2. Ya, kita sendiri yang create kematangan diri kita.

    Suatu hari, ketika sudah berada di Malaysia nanti, perkara-perkara sebeginilah yang bakal kita ingatkan kembali. Binalah kenangan-kenangan yang bahagia dan yang diredhai Allah.

    ^^

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter