Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Daia, mencuci dan agak mewangi. Softlan, tak mencuci sangat, tapi mewangi. Harga lebih kurang. Masing-masing ada kepentingan.

Ketika di asrama, antara pencuci basuh yang menjadi pilihan hati, tentulah Daia. Entah kenapa, usah ditanya. Mungkin mahu menambahkan lagi koleksi pinggan kaca mama di rumah di sebabkan tawaran pembelian sekilo akan mendapat sepinggan kaca bertulis 'Daia'. Walau tak sehebat arcopal, namun ianya masih relevan untuk digunakan seisi keluarga.

Asrama lazimnya ada mesin basuh bahkan ada sekolah yang terus punya sistem dobi. Semuanya untuk memudahklan pelajar. Namun, ketika itu tiada kepuasan bagi saya kalau membasuh baju menggunakan mesin basuh. Serius tak tipu. Baju berkedut dengan teruk dan kotoran belum tentu keluar sepenuhnya. Kurang memuaskan hati. Tiada alternatif lain, basuh mengguna tangan juga menjadi pilihan. Mesin semula jadi yang lebih memuaskan.

Hingga kini, apabila kerja semakin banyak, hidup semakin sibuk, prasarana yang kurang lengkap, mesin basuh menjadi pilihan utama. Basuhan yang menggunakan kudrat semula jadi, hanya untuk pakai putih. Tetapi ia tetap sama keadaannya, basuh sendiri, tetap berdikari. Huh.

Namun, ada pelbagai jenis basuhan yang dapat saya dapat lihat. Pelbagai ragam dan pelbagai gaya. Sejak dari asrama hinggalah kini. Semua jenis ini, datang dari golongan lelaki. Jadi, mungkin ianya pelik dan lebih simple berbanding golongan wanita.

Jenis pertama, jenis yang sangat simple. Hanya ambil baldi dan rendam baju bersama serbuk pencuci. Lebih kurang semalaman atau dua malam. Sebab selalu cuti dua hari saja. Selepas itu jemur. Hasil, kotoran akan keluar sedikit, daki-daki belum tentu keluar habis dan taklah terlalu wangi.

Jenis kedua, lebih kurang simple juga. Merendam baju hanya dengan softlan. Tempoh masa sama saja dan jemur. Baju jadi wangi tetapi memang kurang bersih.

Jenis ketiga, sedikit complicated. Merendam baju beberapa jam dan  berus baju-baju tu. Cara ini, ramai yang lakukan. Terlalu common. Sudah puas dengan kebersihannya, baru jemur. Hasilnya, kebersihan terjamin tapi kewangiannya tidak terlalu wangi.

Jenis keempat, lebih complicated. Selepas rendam dan berus baju-baju itu, akan disambung pula dengan bilasan softlan. Seterusnya di jemur dengan rapi. Natijahnya, baju bersih bersinar dan kewangiannya tak dapat di sangkal lagi.


Kehidupan manusia, untuk di analisis.

Sebenarnya semua itu ada kaitannya dengan hati kita. Ya, ini serius. Memang agak jelas dengan kerja buat kita. Ia benar-benar mencerminkan bagaimana kita menjaga hati kita.

Mari lihat, semua jenis-jenis ini memang wujud.

Ada yang hanya mahu membersihkan bahagian luaran sedikit sahaja, tanpa menghiraukan bahagian dalam, sang hati. Membiarkan ia terus karat, hitam dan dibiarkan hingga parah dan rosak.

Ada yang hanya mahu wangi luaran sahaja, kebersihan hanya diendahkan sedikit sahaja. Dalamannya pula langsung tak dihiraukan. Hanya kerap menyembur minyak wangi sahaja.

Ada yang basuh hanya dalamannya sahaja, bersih sebersihnya dan tak selalu biar ianya kotor. Tapi luar hanya biarkan seperti biasa.

Namun, ada juga yang mahu elok luar elok dalam. Dalamnya wangi dan bersih, luarnya pun bersih. Hebat orang ini. Tambah pula dia mampu istiqamah hingga akhir hayat. Cream of the creams.


Mentadabbur Alam.

Begitulah, banyak orang banyak ragam, banyak gaya banyak cara. Namun, kita sebagai hamba-Nya yang punya akal fikiran yang waras tak wajar biarkan segala yang berlaku di hadapan kita tanpa berfikir. Fikirkan, jangan takut untuk berfikir. Bukankah kita mahu jadi 'Ulul albab' seperti yang disebutkan al-Quran?

Maka, jangan takut untuk berfikir membelah alam. Mentadabbur segala nikmat, segala yang dilihat. Moga kita jadi insan yang sentiasa mengingati Allah kerana kita secara normalnya tak mampu untuk menginngati Allah untuk 24 jam.

Bersyukurlah kerana masih punya hati. Hati itu bukan tempat untuk dikotori, tapi sebagai tempat mulia untuk dibersih setiap hari. Moga-moga segala amalan kita kepada Allah jadi enak dan mudah untuk diikhlaskan jika hati di touch up setiap hari.

Campurkan Daia dan Softlan, moga ianya terus bersinar dan mewangi.

Kredit


Andai tidak mampu, lihatlah tubuh badan kita, di situ jelas kekuasaan Maha Esa. Lihat, tadabbur dan fikir.


"Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?"

(Adz-Dzaariyaat 51:21)


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
22..8.2012
7.59 a.m











5 Nasihat & Komen:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter

 
Top