7/25/12

Peronda Mercun.

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Ramadan tahun itu jatuh pada hari-hari persekolahan. Berbekalkan akal kanak-kanak sekolah rendah yang masih kurang matang, ramadan pada hari persekolahan sememangnya sangat membebankan. Serius.

Mana tidaknya, tiada lagi aktiviti riang di padang selepas waktu persekolahan, gara-gara tenaga yang terhad. Tiada lagi zero point dan tuju kasut pada waktu rehat. Tournament bola antara kelas
di padang tepi sungai 
juga tersekat.





Pada hari itu, kelas petang tiada. Memang lega. Lalu, Fahmi bersama basikal racing Acumexnya terus mengajak saya ke satu tempat. Tempat itu memang sinonim setiap kali bulan puasa. Saya mengangguk setuju. Tanpa berlengah, setelah tamat sesi persekolahan pagi, kami terus ke lokasi tersebut.



Memecut sederhana laju basikal di atas jalan raya dan terus masuk ke jalan kampung. Basikal memang kenderaan biasa bagi kami, ke mana sahaja berbasikal, hatta ke Lata Bayu sekalipun.




" Bagi la salam, depa ada kat dalam tu." Cakap Fahmi dengan nada perlahan.

" Alaaa, yang tu pun malu ka. Bagi ja.." 


" Assalamualaikum...."


" Assalamualaikum...."

Pintu pantas diselak. Kelihatan seorang perempuan keluar, bermuka ala-ala bangun tidur.

" Ni nak apa ni?"


" Hmm, bagi mercun bola kecik dua bungkus."

Kakak tadi kembali ke dalam rumah. Dengan pantas datang semula dan berikan dua bungkus mercun bola kecik.

" Ada apa lagi dak? "


" Ok kak, dah habis dah. Terima Kasih ya.." Ucap Fahmi sebagai ketua rombongan.


" Fahmi, cukup ka stok kita untuk seminggu ni?"


" Alaa, kalau habis kita mai la lain kat sini..."

Seperti malam biasa, terawih mesti dibuat. Saf kanak-kanak di belakang sekali menjadi rebutan. Moga-moga mudah keluar setelah cukup lapan rakaat nanti.

Solat terawih menjadi kurang khusyuk gara-gara memikirkan strategi perperangan mercun sebentar lagi. Saat itu, solat terawih hanya sebagai syarat kehadiran ramadan sahaja. Ruang saf kanak-kanak cukup meriah di belakang, pelbagai gaya dan ragam ada. Mujur ayah sudah ajar cara solat dengan betul, tidaklah jadi tunggang terbalik macam yang lain.

Habis sahaja salam terakhir rakaat ke lapan, berderu kanak-kanak keluar masjid tanpa berehat sebentar demi menjayakan 'agenda' penting pada malam itu. Semuanya bermuka ceria girang gembira.

Berbekalkan pengalaman lama, kami tidak lagi bermain di hadapan masjid takut-takut terkena lagi 'periuk api' di situ. Muka Pak Bilal sentiasa digeruni, selalu saja marahkan kami.

Lalu, plan mesti ditukar. Lokasi lain perlu dicari untuk menjayakan peperangan pada malam itu. Semua ahli bala tentera dikerah untuk berhijrah ke tempat lain.

Pencarian terus dilakukan, hinggalah terjumpa satu site menarik untuk aktiviti pada malam itu. Lokasinya, hadapan tanah perkuburan dan bersebelahan jalan raya. Mereka cakap tak perlu takut dengan kubur tu, sebab semua hantu telah pun dikurung.

Perang bermula. Ternyata kemeriahan malam itu.

Bom.


Pom. 


Pam.


Pim.


Peh..

Selain dibaling kepada pihak lawan, mercun bola jugak dibaling terus jalan raya supaya ianya jadi lebih menarik lagi. Seronok sungguh.

Namun, satu perkara tak diingini berlaku pada malam itu. Kalau setakat kena jari sikit-sikit tu biasa. Tapi, kali ini lebih dari itu.

Tanpa disangka-sangka, satu mercun bola jenis kecil yang selamat mendarat di atas jalan raya itu meletup dibawah kereta Peronda Polis yang lalu di jalan itu pada waktu itu. Melihat kereta peronda berhenti, semuanya menjerit kuat menambahkan kemeriahan dan kegawatan.

" Lariiiiii...! "

Semua sekali lari bertempiaran ketakutan. Masing-masing masuk ke rumah mencari hak perlindungan. Setelah beberapa minit, kereta Peronda Polis tu kembali meluncur laju di atas jalan. Kelegaan yang besar buat kami. Semua kecut, takut-takut beraya dalam penjara.

Kenangan yang mematangkan. Zaman kanak-kanak, zaman nikmat keseronokan.

Kredit



Wallahua'lam.




Muhammad Iqbal.
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




2 comments:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter