1/31/12

Siri 8 : Angan

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Itu malam terakhir Muhammad berdamping dengan rumahnya, sebelum melangkah keluar menuju ke alam baharu, tempat yang tak pernah dia jejaki. Rasa berat. Masakan tidak, itulah tempat dia bercanda membesar. Segalanya memori tawar, manis, masin, masam, semua tersimpan di situ.

Duduk di hadapan laptop. Scan passport, kad pengenalan, surat beranak dan yang sewaktu dengannya. Sesuatu terlintas di minda. Angan-angan. Mimpi. Impian. Ya, Muhammad ada impian yang teramat besar untuk digapai. Sangat besar.


Angan Untuk Dikongsi

Muhammad tidak mahu mengurung impiannya. Setiap cita-citanya pasti diberitahu ibu bapanya. Agar kedua-dua tahu. Muhammad yakin, ibu bapanya pasti berdoa untuknya. Doa ibu sangat dahsyat! Tidak kurang juga doa ayah yang merintih tatkala manusia lain berdengkur.

Sunyi malam itu. Hanya tinggal beberapa jam sahaja mahu bertolak ke Shah Alam. Jari-jemari pantas menaip di atas keyboard laptop Acer milik ayahnya. Segala impian maha besarnya di salurkan. Tanpa ada rasa ragu lagi kerana dia takut menzahirkan mimpi besar itu. Takut tak terlaksana. Takut tak kuat untuk bekerja ke arah itu.

Usai menaip segalanya. Terus mencari butang print di skrin. Buat 3 salinan. Buat mama, ayah dan dirinya sendiri.

Tidak penting sebesar mana impianmu itu. Tetapi  yang penting ialah sebesar manakah kamu untuk merealisasikan impianmu itu.

Muhammad rasa dia bukanlah orang yang besar, yang mampu menggalas maha impian itu.

Tetapi sampai bila? Selalu dia soal dirinya.

Andai itu hajatnya, kenapa masih takut untuk mulakan usaha? Tidakkah kamu yakin Allah sentiasa bersamamu untuk menolong usaha murni itu?

Allahu Musta'an.


Bersama-Mu, Indah Segalanya.

Sudah tiba masanya untuk Muhammad memulakan kerja. Semuanya untuk capai redha Sang Khaliq. Percetus segala impiannya. Itu cita yang terbesar sekali. Itu terpenting.

Impian tinggi melayut jika tanpa redha-Nya, karut! Kering. Kontang. Kosong.

Mulut mengumam sendirian. Bukan keluarkan kalam merapu. Tapi, berselawat kepada Kekasih-Nya yang tercinta. Untuk tajamkan rasa cinta kita kepada Allah, wajiblah kita cintai Kekasih-Nya dahulu. Allahumma Salli 'Ala Sayyidina Muhammad.

Bila buat kerja kerana-Nya, semuanya indah.

Jika berjaya, syukur! Redha.

Jika gagal, syukur! Redha.

Allah S.W.T berfirman :

 فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ 
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya."
(QS. 3 : 159)



"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
(At-Talaaq 65:3) 



Itulah sifat 'pelik' seorang mukmin. Yakin 100% kepada Allah. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Cuma kita cepat atau lambat mengesan hikmah itu sahaja.


Dari Suhaib ra, Rasulullah saw telah bersabda:   

"Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka."  
[Hadis riwayat Muslim: 2999]




Long Term Planning

Dua helai kertas yang bertajuk ' Long Term Planning' diserahkan kepada mama dan ayahnya. Kedua-duanya menyambut baik. Senyum. Hati Muhammad rasa bahagia. Rasa lepas sejenak resah di dada. Fuhh..

Malam kian gelap. Segala persiapan di teruskan. Letih pun berbaur, ramai juga tetamu yang datang.

Muhammad berjalan keluar rumah. Bersama beg-beg besar. Menoleh ke belakang, memandang sepi, memandang rumah. Masa lampau laju menerjah minda. Hanya jadi kenangan selepas itu.

Tak lama selepas itu, permusafiran bermula. Tinggalkan kampung halaman.



Mula dan istiqamah.

Sungguh mudah untuk mulakan, walau ada sekelumit halangan. Tapi, cabaran hakikinya ialah untuk istiqamah. Sangat sukar. Allah...

Bekerja dan terus bekerja. Berusaha terus usaha. Mantainkan kayuhan.

Sesungguhnya, Muhammad sangat tagihkan keberkatan masa.

Allahu Musta'an.


" Sesuatu yang tumbuh tanpa ditanam, tak sempurna hasilnya."



Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


2 comments:

  1. Allah bagi sikit ,kita sabar.
    Allah bagi banyak, kita syukur.

    Tapi, untuk orang beriman tak kira betapa sikit, dia tetap SABAR dan SYUKUR.

    Jazakallah. Penulisan yg ini kena tepat dengan situasi saya sekarang.

    ReplyDelete
  2. Sesungguhnya, saya tidak akan menulis sesuatu yang saya tidak alami. Kecuali tulisan bentuk imaginasi.

    Waiyyak.

    Sabarlah, apa jua halangan di hadapan kita. Mungkin hari ini kita tak nampak lagi hikmahnya. Insya-Allah, kita akan lihat juga hikmah segala yang terjadi itu. Saat itu, baru kita sedar, Allah itu sebaik-baik penyusun hidup kita.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter