3/16/11

Penyakit Kalbu Moden


Kita selalu dengar tentang ujub. Ujub adalah suatu penyakit hati yang bermaksud takjub dengan diri sendiri. Ujub merupakan titik tolak kepada penyakit hati yang lebih besar seperti riak (menunjuk-nunjuk) dan takabbur (membesarkan diri sendiri). Sifat-sifat ini tidak layak ada pada manusia.


Hanya Allah SWT. sahaja yang layak memiliki sifat ini kerana Allah-lah yang mencipta sekalian alam dan pemilik segala kekuatan. Maka, tidak salah bagi Allah SWT. untuk merasakan diri-Nya hebat, menunjuk-nunjuk kehebatan-Nya, dan mengagungkan diri-Nya.


Manusia yang ujub merasakan dirinya hebat. Contohnya, seseorang itu berasa ujub apabila dia berdoa lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sujud lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sedekahnya lebih banyak daripada orang lain. Mudah cerita, bisikan yang terlintas di hati berbunyi seperti "Uishh... aku sujud lebih lama daripada dia...".


Perkembangan pesat teknologi di zaman ini menjadikan penyebab penyakit hati juga turut maju selaras dengan perkembangan semasa. Penyakit hati ini akan meresap bersama-sama pesakit dan mengikuti perkembangan dunia. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh-contoh ujub atau riak yang telah wujud di zaman moden.



1. Blog dan "Followers"

Kebiasaannya perkara ini hanya menimpa dikalangan "blogger". Mereka berisiko untuk merasa diri hebat apabila ramai peminat ataupun "followers" yang mengikuti blog mereka. Ribuan atau ratusan "followers" menyebabkan diri terasa hebat dan dikenali ramai. Tidak salah untuk kita berasa seronok dengan ramainya "followers". Tetapi seronok atas dasar apa? Seronok kerana dapat mencurahkan ilmu kepada ribuan atau ratusan "followers" atau seronok kerana melihat JUMLAH "followers" yang banyak?



2. "Like"  di Facebook

Post "status" di laman sosial facebook. Ramai pula yang tekan "like". Apabila ramai yang "like", mulalah rasa diri mendapat perhatian ramai. Setiap cetusan minda yang terpapar di laman Facebook dihargai dan rasa bangga dengan apa yang telah dihasilkan. Awas! Tidak salah untuk merasa gembira apabila orang lain suka apa yang kita lakukan, tapi janganlah sampai merasa riak dan berbangga dengan diri sendiri.




3. Komen di Facebook

Mungkin juga kita akan rasa teruja apabila ramai yang memberikan tindakbalas yang memberangsangkan pada "post" kita di Facebook. Apabila ramai sangat, mungkin bibit-bibit perasaan ujub akan mula lahir.




4. Komen Gambar di Facebook

Perkara ni mungkin berlaku pada lelaki yang kacak dan perempuan yang cun sahaja. Apabila cun atau kacak, ramailah yang komen. Tidak kurang juga yang memuji. Apabila banyak sangat terima pujian, mulalah rasa semacam dan seronok dengan pujian itu. Maka, perasaan ujub pun senang-senang boleh diterbitkan.




6. Ramainya Kawan atau Peminat di Facebook

Jumlah sekali lagi memainkan peranan penting bagi syaitan untuk menghasut manusia untuk berasa riak. Ramai bilangan rakan maya di facebook juga membolehkan perasaan ujub diterbitkan. Itu baru kawan, apatah lagi peminat artis yang mencecah jumlah ratusan ribu, malahan jutaan orang. Apabila ramai orang yang meminati artis tersebut, mungkin perasaan ujub akan muncul. Hati-hati!



7. Berdakwah di Facebook

Mungkin ramai kawan kita yang merapu di Facebook. Sebagai orang yang merasa dirinya wajib untuk berdakwah, maka Facebook dijadikan medan untuk berdakwah di tengah-tengah rakan Facebook yang banyak merapu. Maka, jadilah kita orang yang terpencil kerana tidak merapu sedangkan yang lain banyak yang merapu.


Apa yang dibimbangkan di sini, apabila kita berdakwah, kita turut akan berbangga dengan apa yang kita lakukan. Awas, wahai da'ie!


Jadi, berhati-hatilah dengan hati! Semoga kita dilindungi Allah daripada penyakit-penyakit hati ini. Ingatlah bahawa, setiap apa kebaikan yang kita lakukan semuanya adalah daripada Allah jua. Kita tiada hak untuk merasa ujub kerana tanpa izin-Nya ia tidak mungkin akan berlaku. Kembalilah apa jua pujian itu kepada Allah. ( Sumber )



Daripadaku...

Dah baca?? Takut??Alhamdulillah, kali ni teringin pula berbicara soal hati. Masuk bab tasawuf sikit tapi yang sesuai dengan zaman sekarang. Artikel di atas diambil dari laman iluvislam.
Teringat pula pertama kali aku belajar ilmu tasawuf ni dulu, masa tu aku berada di tingkatan 2. Ada seorang senior aku pada masa itu dia tingkatan empat, dia telah membuat satu halaqah di surau selepas balik prep malam lebih kurang pukul 11.00 malam. Muhammad Azhar Bin Rasli yang juga merangkap sebagai ketua BADAR pada masa itu, telah membacakan kami dan menghuraikan satu kitab yang amat mashyur bagi pelajar-pelajar pondok iaitu kitab Penawar Bagi Hati ( klik sini ).

Kitab itu bertulisan jawi lama dan ditulis oleh as-Syeikh Abdul Qadir al-Mandili. Setiap kali senior aku tu baca kitab tu memang aku akan ikuti dengan tekun dan tak akan miss kelas tu. Walaupun kadang-kadang kami ( kumpulan halaqah ) terlajak belajar sampai pukul 12.30 pagi, tetapi keseronokan memperolehi ilmu baharu membawa keghairahan kepada kami sehingga terleka dengan semua itu ( nasib baik warden tak tau, kalau tidak, siap la ). 
kitab Penawar Bagi Hati.

Ya la, aku bukanlah datang dari keluarga ustaz-ustaz atau ustazah-ustazah, tu yang banyak benda baharu tu di grab sebaik mungkin. Ketika aku masuk SMKA Sik tu pun, aku sebenarnya tidak dapat membaca al-Quran dengan baik, tajwid berterabur, bak kata ustaz kat sekolah tu. Selepas tu, ustaz adakan satu kelas special bagi orang macam aku ni, kelas pemulihan al-Quran. Kelas itu juga banyak membantu aku dan rakan-rakan. Terima kasih daun kari ustaz!!  Tidak dilupa, seorang senior aku pada ketika itu, Irfan namanya, dia telah mengajar kami al-Quran dengan tekun sekali. Dia selalu membuat halaqah sebelum maghrib untuk mengajar membaca al-Quran kepada para junior 'yang berminat'.

Wah, sudah melalut jauh pulak aku nih, berbalik semula kepada bab hati ni. Aku sebenarnya nak komen sikit mengenai artikel diatas. Apabila dibaca dan difikir kembali artikel diatas tu, semuanya adalah berkenaan dengan hati pada era modenisasi ini. Tidak dapat dinafikan, semua itu adalah benar, kerana hidup kita sekarang selalunya bergelumang dengan perkara-perkara seperti sedemikian, facebook,blog dan lain-lain. Tetapi jangan pula kita berpatah hati atau mahu menganjakkan diri anda daripada menjadi seorang da'ei. Jangan!! Jom kita sahut cabaran modenisasi ini dengan tenang. Semua masalah itu aku yakin hanya dapat diatasi juga dengan hati kita kerana ianya bermula dari hati.




" Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niatnya,dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)  berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana (ingin) mendapatkan keredaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana (keredaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya, atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan dinilai sebagaimana) yang dia niatkan. 
(HR Bukhari dan Muslim)


Aku yakin, jika semua perbuatan kita itu ikhlas, insya-Allah, penyakit hati ini sukar sedikit menyerang kita. Kerana tanpa ikhlas, pelbagai penyakit hati seperti digembar-gemburkan oleh artikel divatas akan pantas menyerang dengan bantuan syaitan laknatullah. Ingat, untuk mendapatkan itu sememangnya, kita harus betulkan niat kita setiap kali apa yang kita mahu lakukan terutamanya berdakwah di alam maya ini. Kerana sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)  berdasarkan apa yang dia niatkan. 

Mafhum Sabda Rasulullah S.A.W :


" Ketahuilah bahawa di dalam tubuh terdapat segumpal daging, jika baik, maka baikklah seluruh tubuh, dan jika ianya buruk, maka buruklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa itu adalah hati."
( H.R Bukhari dan Muslim )
klik sini untuk muat turun mendengar hadis ini dalam lagu




"Segalanya indah jika dibuat kerana Allah S.W.T "



Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Baling, Kedah



5 comments:

  1. bila nk wat sst ibadat, awl2 ikhlas.tp bla ada org tau @ tgk kta wat, ada rs syok cket sbb lbh pd org..adakah patut tinggalkn sja ibadat 2 utk nk halang drp timbul sifat ujub ni????

    ReplyDelete
  2. Salam. Bagus perkongsian kamu ni. Bila adanya perasaan ujub ni, hndaklah cpt2 istighfar kpd Allah. Cpat2 kembali kpd Allah. Sntiasa tetapkan niat di hati sgala amalan yg kita lakukan ikhlas kerana Allah. InsyaAllah, amalan apa pun kita nak buat akan clear dgn izin Allah. ;;)

    ReplyDelete
  3. ~saya suka dengan pos awak kali ini,,,,,,,,,,,,,,banyak benda yg saya belajar dari awak.thanx

    ReplyDelete
  4. Anonymous : pada saya, ibadah itu tak perlu ditinggalkan. Kerana yang membawa kita kepada perasaan ujub dan riak itu datang drp syaitan untuk menghancurkan segala amal ibadah kita. Kita lawan syaitan laknatullah itu. Cubalah meminta pertolongan Allah supaya dijauhkan drp gangguan syaitan itu. Paling kurang bacalah ta'awuz ( a'uzubillahiminassyaitonirrojim ) atau membaca surah an-nas.

    isminajihah : insya-Allah...semoga Allah sentiasa membimbing hati kita kearah hidayahnya..

    ~cahayahidayah~ : u're welcome..inilah yang mampu lakukan buat ummah. Jika ada manfaat padanya, ambillah.

    ReplyDelete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter