6/19/10

Lagi Mengenai Kesahihan Hadis Tentang bulan Rejab


Oleh: Dr. Yusuf al-Qaradhawi 


Soalan: 

Banyak kami dengari dari khatib Jumaat - terutama pada awal bulan Rejab - hadith-hadith yang mereka riwayatkan tentang pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang hanya berpuasa sehari di dalam bulan Rejab. Antara hadith ini ialah: "Rejab bulan Allah, manakala Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Apakah pandangan tuan dengan hadith-hadith sebegini? Apakah hadith-hadith ini sahih? Apakah pula hukum sesiapa yang meriwayatkan hadith palsu yang dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. kepada 
orang ramai?

Jawapan: 

Tidak ada satu hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab sesuatupun, melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan yang haram (yang dimuliakan) yang disebut oleh Allah S.W.T. di dalam kitabnya: "Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan)."(al-Taubah:36) iaitulah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan al-Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.Tidak terdapat satu hadith yang sahih yang mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi S.A.W. banyak berpuasa dalam bulan Sya'ban, apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, dinyatakan: "Kerana Sya'ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada di antara Rejab dan Ramadhan."Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan. Adapun tentang hadith: "Rejab bulan Allah, Sya'ban bulan-ku dan Ramadhan bulan Umatku."Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu ... 

iaitu ianya suatu yang didustai (atas nama Nabi S.A.W.), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama. Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa solat sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala ... 

semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta. Antara tanda kedustaan hadith-hadith seumpama ini, apabila ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan gembar-gembur para ulama berkata:

Maksudnya: "Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar atas perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras atas dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu. "Sebagai contoh lain apa yang didakwa dari perkataan Nabi S.A.W.: "Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik dari membina 1000 buah masjid. "Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan untuk orang yang lapar, pahalanya lebih besar dari pahala yang diperolehi dari membina 1000 buah masjid. Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk di dalam jenis seperti ini. Ke atas ulama wajib memberi perhatian dari hadith-hadith seumapama ini yang palsu dan dusta dan memberi peringatan kepada orang ramai dari hadith-hadith seumapama ini. Nabi S.A.W. telah bersabda: (Maskudnya):  "Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia lihat hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta."(Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di Muwaddiman Sahihnya). Akan tetapi kadang-kadang seseorang tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya itu adalah hadith yang palsu. Oleh kerana itu ia dia mesti mengetahui, dan mengenal pasti dari sumber-sumbernya...terdapat banyak kitab-kitab hadith yang dibuat rujukan, ada kitab-kitab yang khas yang memberitahukan tentang hadith-hadith lemah dan palsu seperti al-Maqasid al-Hasanah "oleh al-Sakhawi, kitab Tamyiz al-Toyyib min al-Khabith lima haduru ala alsinah al-Nas minal hadith oleh Ibn al-Diba ', kitab Kasful khafa ' wa al-Ilbas fima isytahara min al-Ahadith 'ala alsinati al-Nas oleh al-'Ajluni...dan banyak lagi kitab-kitab lain yang sepatutnya diketahui oleh para khatib dan memahaminya, agar mereka tidak mengambil satu hadith melainkan hadith itu dipercayai kesahihannya. Sesungguhnya termasuk dalam kemerbahayaan yang berlaku di dalam masyarakat kita ialah hadith-hadith yang palsu dan yang direka yang bercampuraduk di dalam khutbah, buku-buku dan percakapan manusia, hakikatnya ianya adalah hadith yang palsu dan yang direka.Oleh kerana itu kita perlu membersih dan menyucikan masyarakat kita daripada hadith-hadith seperti ini. Sesungguhnya Allah mentaufikkan para ulama yang menjelaskan kepada orang ramai perkara-perkara yang asas dari yang direka, yang tertolak dari yang diterima. Dan kita hendaklah mengambil manfaat dari usaha mereka dan mengikut ilmu yang telah mereka terangkan. 

Wallahu a'lam


KEPALSUAN HADIS REJAB

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Seluruh pujian hanya kepada Allah semata. Salam sejahtera kepada Nabi dan ahli keluarga beliau. 

Setiap amalan dalam Islam mesti berdasarkan kepada sumber yang sahih sahaja iaitu al-Quran dan sunnah Nabi yang asli. Umat tidak dibenarkan mengambil sebarang hadis palsu dalam urusan agama. Sebaiknya umat dapat mengenali hadis palsu mengenai amalan bulan Rejab. Bahawasanya bulan Rejab itu adalah bulan yang agung yang diberikan gandaan kebajikan-kebajikan padanya. Siapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka seakan-akan dia berpuasa setahun. Siapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab ditutup padanya tujuh buah pintu neraka jahanam. Siapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibuka padanya lapan buah pintu syurga. Barang siapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab itu maka dia tidak meminta sesuatu pada Allah melainkan diberikan padanya. Siapa berpuasa bulan Rejab itu selama lima belas hari nescaya berseru suara daripada langit, sesungguhnya engkau telah pun memperoleh keampunan atas dosa yang telah lalu, maka memulakan amal kamu. Pada bulan Rejab Allah membawa Nuh dalam bahtera. Nuh berpuasa dan menyuruh orang-orang yang bersama-sama beliau dalam kapal supaya berpuasa kerana bersyukur kepada Allah. Bahtera belayar selama enam bulan lalu berlabuh atas bukit al-Judi pada hari 'Ashura' . Pada bulan Rejab itu Allah menerima taubat  Adam dan juga taubat penduduk bandar Yunus. Padanya lautan 
terbelah untuk Musa dan padanya diperanakkan Ibrahim dan Isa . (Idris: 523)

Siapa menghayati satu malam dari bulan Rejab itu dan berpuasa sehari nescaya Allah memberi dia makan daripada buah-buahan syurga, memakaikan dia dengan pakaian-pakaian dari syurga serta memberi dia minum dari arak yang terpilih yang dilak tempatnya, kecuali orang yang melaksanakan tiga perkara, orang yang membunuh jiwa, atau dia mendengar orang yang meminta tolong pada waktu malam ataupun siang hari akan tetapi dia tidak menolong orang tersebut atau orang yang saudara dia mengadukan sesuatu kehendak padanya tetapi dia tidak melapangkan kehendak itu. (Idris: 524) 

Rasul Allah telah berkhutbah kepada kami sekali Jumaat sebelum Rejab, dan beliau bersabda, wahai manusia, sesungguhnya kamu telah diberikan perlindungan oleh satu bulan yang agung, bulan Allah yang pekak, padanya diberikan gandaan kebajikan, padanya terkabul permohonan-permohonan dan padanya hilang segala kesusahan, dan juga tidak ditolak satu pun permohonan orang mukmin. Maka siapa yang berbuat kebajikan pada bulan tersebut akan diberikan gandaan padanya beberapa kali ganda dan Allah akan menggandakan pahala kepada sesiapa yang Dia menginginkan. Oleh itu, hendak kamu mendirikan solat pada malam dan berpuasa pada siang. Maka siapa yang bersolat pada satu hari dari bulan Rejab lima puluh rakaat, dia membaca pada tiap-tiap rakaat apa yang mudah untuk dia dari al-Quran maka Allah mengurniakan dia kebajikan-kebajikan sebanyak bilangan genap dan bilangan ganjil, dan sebanyak bilangan rambut dan bulu. Siapa berpuasa sehari maka Allah akan menulis buat dia dengan puasa itu sebanyak pahala puasa setahun. Siapa yang menjaga lidah pada bulan Rejab pasti Allah mengajarkan hujah semasa pertanyaan Munkar dan Nakir. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah padanya maka itu menjadi pembebasan dia dari neraka. Sesiapa menghubungkan perhubungan pada bulan Rejab pasti Allah menghubungkan dia di dunia dan akhirat dan membantu dia ke atas musuh-musuh semasa dia hidup. Sesiapa melawat seseorang yang sakit pada bulan Rejab maka Allah akan memerintahkan pada malaikat Kiram supaya menziarahi dia dan memberi salam padanya. Siapa yang bersolat ke atas satu jenazah pada bulan Rejab seakan-akan dia menghidupkan seorang kanak-kanak perempuan yang ditanamkan hidup-hidup. Siapa memberi makan seorang mukmin dengan satu makanan pada bulan Rejab Allah meletakkan dia pada hari kiamat atas satu hidangan bersama Ibrahim dan Muhammad. Siapa memberikan satu minuman air pada bulan Rejab maka Allah memberi dia minum dari arak yang terpilih dan yang dilak tempatnya. Sesiapa memberikan satu pakaian kepada seorang mukmin maka Allah memakaikan dia dengan seribu pakaian dari pakaian-pakaian syurga. Siapa memuliakan seorang anak yatim dan mengangkat tangan atas kepala (mengusap rambutnya) maka Allah memberi dia keampunan sebanyak bilangan rambut yang disentuh oleh tangan dia. Sesiapa beristighfar kepada Allah sekali pada bulan Rejab nescaya Allah memberikan keampunan. Siapa melakukan tasbih sekali padanya ataupun dia bertahlil sekali tahlil nescaya dia dicatat di sisi Allah dari golongan orang lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah. Sesiapa yang mengkhatamkan sekali khatam al-Quran pada bulan Rejab, dia dan bapa dia masing-masing akan dipakaikan dengan sebuah mahkota yang bertatahkan mutiara dan al-marjan dan dia terselamat dari kejutan hari kiamat. (Idris: 536) 

Semua hadis di atas adalah hadis palsu mengenai bulan Rejab yang dinyatakan oleh para ulama hadis. Jikalau dilihat pada hadis tersebut akan kelihatan betapa banyak maklumat yang bertentangan dengan fikiran manusia yang waras di mana ganjaran yang ditawarkan sangat berlebihan berbanding dengan amalan yang dibuat. Adapun perkara sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak mudah diterima oleh akal yang sihat. Sesungguhnya Islam mengharamkan merujuk kepada hadis palsu dalam apa jua bentuk ibadat kerana ia hanya mencemarkan kesucian Islam. Allah yang Maha Mengetahui. Dengan harapan penulisan ini bisa memberikan manfaat.

Wallahu a'lam.

Sumber: Idris, Abdul Ghani Azmi, Himpunan Hadis Dha'if Dan Maudhu', jilid 1, (Kuala Lumpur, al-Hidayah: 2006 )



).

6/17/10

Ketahui Kelajuan Blog Atau Website Anda



Alhamdulillah, hari ini saya nak berkongsi dengan anda semua mengenai tahap kelajuan bog ataupun website anda. 

Anda cuma perlu masukkan url blog atau web anda dekat dalam kotak kat bawah ni dan tekan HANTAR...siap!

Selepas beberapa saat, keputusan akan muncul. Selamat mencuba!



Url Anda: Enter each address on a new line (Maximum 10)




(eg. http://www.ibnuddin.com)




6/14/10

BANTUAN PANTAS KITA UNTUK RAKYAT PALESTIN..


La hawla wal Quwwata Illah billah, bantuan terpantas dari kita buat masa ini adalah qunut nazilah, serta doa buat umat Islam Palestin dan moga Allah s.w.t menghancurkan tentera Israel dengan tenetra MalaikatNya. Jika doa Muslim Palestin tidak mencukupi bagi mendapatkan kemaqbulan di ketika ini, marilah kita sama-sama dengan segera membantu mereka, di harap doa kita mampu membantu mereka dalam kadar segera.
Sememangnya ramai yang tidak peduli dengan serangan ini. Pemimpin arab dan barat semuanya akan bermain dengan kata-kata semata-mata. Tanpa menafikan adalah lebih baik pemimpin yang berkata dan mengecam dari yang terus senyap membisu seribu bahasa.   

 
QUNUT NAZILAH
 
Berikut adalah cadangan Qunut Nazilah dengan baris yang telah diberikan barisnya dan ertinya, agar boleh dibaca oleh orang ramai.  
 
اللّهُمَّ إِنّا نَسْتَعِينُكَ وَنُؤمِنُ بِكَ ، وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْكَ ونُثْنِيْ عَلَيْكَ الخَيْرَ وَلاَ نَكْفُرُكَ ، 


اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد ، وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ ، وَإِليكَ نَسْعَى وَنَحْفِد ، نَرْجُو رَحْمَتَكَ 


وَنَخْشَى عَذَابَك ، إِنَّ عَذَابَكَ الجَدَّ بِالكُفَّار مُلْحِق ، اللهم عَذِّبِ الكَفَرَةَ وَأهْلَ


الكِتَابِ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ
 
Maksudnya : "Ya Allah sesungguhnya kami memohon pertolongan dariMU dan kami beriman denganMu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami memuja Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufuriMU, Ya Allah hanya engkau yang kami sembah dan kepada Mu kami menunaikan solat dan bersujud, kepadaMu kami berusaha, kami mengharapkan rahmatMu dan kami takutkan azabMu, sesungguhnya azabMu yang pedih akan dikenakan kepada orang-orang yang kafir, Ya Allah azablah orang-orag kafir Ahli kitab yang menghalang-halangi dari jalanMU."

 
اللّهمّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا ، ونَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ 
 
اللّهمّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اِهْزِمْ اليَهُودَ 

الغَاصِبِيْنَ المحُتَلِّيْنَ،

وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ وَزَلْزِلْهُم. اللّهُمّ بَدِّدْ شَمْلَهُم وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، و شَتِّتْ كَلِمَتَهُم ,


خَالِفْ بَيْنَ قُلُوبِهِم،  ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُم  , وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ يا قهار


, يا جبار و يا مُنْتَقِمَ , اللهم أَنْزِلِ بِهِم بَأْسَكَ الَّذِيْ لايُرَدُّ عَنِ القَوْمِ المُجْرِمِين.
 
Erti :
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.


Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyankanlah mereka.
Wahai Tuhan kami, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan kereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam, wahai Allah tuhan kami, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan dariMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa. 
 
اللهم اُنْصُرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُجَاهِدِينَ عَلىْ اليَهُود..اللّهم انْصُرْناَ عَلَيْهِم فِي كُلِّ 


مَكَانٍ..اللّهمّ أَرِناَ فِيْهِمْ عَجَائِبَ قُدْرَتِكَ .. اللّهمّ أًحْصِهِمْ عَدَداً وَاقْتُلْهُمْ بَدَداً وَلاَ


تُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَداً..اللّهمّ اجْعَلْهُمْ غَنِيْمَةً لِلْمُسْلِمِيْن..


اللّهمّ اجْعَلْ سِلاَحَهُمْ فِي صُدُوْرِهِمْ وَكَيْدَهِمْ فِي نُحُورِهِمْ وَتَدْبِيْرِهِمْ تَدْمِيْراً لهَمُ ,


اللّهمّ اْجْعَلْ الملائكةَ تُعِيْنُ المسلمين ..اللّهمّ سَدِّدْ رَمْيَهُمْ .. اللّهمّ سَدِّدْ رَصَاصَهُمْ
 
Erti : Ya Allah, bantulah muslimin dan pejuang Islam dalam petempurannya dengan Yahudi, Ya Allah bantulah kami untuk mengalahkan mereka di mana-mana sahaja, Ya Allah tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kuasaMu, Ya Allah jadikanlah mereka boleh dibilang, dan bunuhlah mereka sebinasanya, dan janganlah engkau lepaskan mereka walau seorang. Ya Allah jadikanlah senjata dan harta mereka sebagai harta rampasan di tangan kaum Muslim, Ya Allah jadikanlah senjata mereka mengenai dada mereka sendiri, dan helah mereka mengenai tengkuk mereka, dan perancangan mereka penghancur mereka sendiri, Ya Allah jadikanlah para Malaikat membantu kaum Muslimin, Ya Allah tepatkanlah tembakan dan lontaran mereka
 
اللّهمّ أَهْلِكْهُمْ كَمَا أَهْلَكْتَ إِرَمَ وَعَاد ... اللّهمّ صُبَّ عَلَيْهِمْ سَوْطَ عَذَابِك


فَإِنَّهُمْ أَفْسَدُوْا فِي البِلاَدِ وَقَتَلُوْا العِبَادَ  , اللهم انصُرْ إِخْوَانَناَ فِي لُبْناَن 


وَفِلَسْطِين وَافغانستان والعراق وَجَمِيْعِ بِلاَدِ المسلمين 
 
Erti : Ya Allah hancurkanlah mereka sebagaimana engkau mengahncur kaum Iram dan ‘Ad , Ya Allah palulah mereka dengan paluan azaz kerana mereka telah melakukan kerosakan dalam negara dan membunuh para hambaMu. Ya Allah bantulah saudara kami di Lubnan, Palestin, Afghanistan, Iraq dan seluruh negara umat Islam. 

 
Mungkin kita juga boleh berdoa agar lubang besar luar biasa yang terbentuk di Guetemala itu terbentuk di Negara haram Israel.
 
lubang_utk_israel.jpg
 
Teruskan berdoa untuk keselamatan rakyat Palestin khususnya yang semakin tersekat bantuan asasinya, demikian juga Iraq dan umat Islam, doakan bala bagi Yahudi, pemimpin Amerika dan rakyatnya yang menyokong, pemimpin Mesir dan sekutunya-sekutu mereka yang membuka jalan dan menyokong serangan pengganas Yahudi ini. Doa kita boleh bacanya sebagai :- 
 
a-    Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu kita, kita juga dibenarkan untuk memegang kertas doa semasa qunut tersebut kerana tentunya sukar untuk menghafalnya. Itu tidak membatalkan solat dalam semua mazhab termasuk mazhab Syafie kerana anda tidak bergerak besar berturut-turt sebanyak tiga kali. Hanya angkat sekali kertas doa, berhenti sebenar kerana membaca, kemudian terus turun sujud, tiada berturut-turut.
 
b-    Doa semasa sujud dalam setiap solat. Ia lebih maqbul berdasarkan nas yang sohih.
 
c-     Khatib bacalah doa untuk Palestin di hujung khutbah Jumaat.
 
d-    Dan banyak lagi waktu doa maqbul.
 
TINGKATKAN KEPEDULIAN
Akhir sekali, tingkatkan kepedulian kita terhadap nasib saudara kita umat Islam.
Jangan dirasakan usaha kita sangat kerdil, tidak mampu memberi sebarang kesan. Yakinilah bantuan Allah, sangka baiklah dengan Allah, nescaya Allah bersama hambaNya yang bersangka baik dan taatinya.
Sebagai sebuah hadis qudsi ertinya:
أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني
Allah menyebut : aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu  (Riwayat Muslim)
Sebahagian riwayat lain pula berbunyi :-
أنا عند ظن عبدي بي إن ظن خيرًا فله وإن ظن شرًا فله
Erti :  aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan ( Riwayat Ahmad, Ibn HIbban)

SUMBER
(dalam format mp3)


Wallahua'lam 

Muhammad Iqbal 
Baling, Kedah
 

6/13/10

Ada Hadis Palsu Bulan Rejab?



Perbincangan sekitar kesohihan hadis "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanKu dan Ramadhan pula adalah bulan umatku"

Setiap kali datangnya bulan rejab, kita sentiasa di hidangkan oleh sebahagian ustaz-ustaz dalam ceramah dan kuliah mereka tentang kelebihan bulan ini. Begitu juga dengan dada-dada akhbar. Tetapi mungkin kita juga pernah terdengar suara–suara yang mempertikaikan kesahihan fadhilat bulan ini.

Di antara hadis yang sering di utarakan tentang kelebihan bulan rejab ini ialah hadis daripada Abi Said al-Khudriy yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanKu dan Ramadhan pula adalah bulan umatku". Hadis ini banyak dicatatkan dalam kitab-kitab jawi melayu. Tetapi apakah pandangan ulamak-ulamak hadis tentang kesahihan hadis ini?

Di sini saya akan menaqalkan kedudukan hadis ini pada pandangan muhaddisin (ulamak-ulamak hadis) tentang hadis ini. Pandangan para muhaddisin ini saya naqalkan daripada risalah “Izharul Ajbi Fi Bayaani Bida' Syahri Rajabi”, karangan Syeikh Aqil bin Muhammad. Antara mereka ialah :

1. Al-Iman Ibnu Jauzi. Beliau telah mengarang satu kitab yang berjudul "Al-Maudhuuat" (hadis-hadis palsu). Beliau telah memasukkan hadis ini dalam kitab beliau tersebut dan menyebut : Hadis ini adalah pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w. jilid 2, m/s 206 

2. Imam Al-Suyuti. Beliau telah mengarang kitab "Al-Laali' al -Masnu'ah Fil Ahadis al-Maudu'ah" iaitu satu kitab yang mengumpulkan hadis-hadis palsu. Beliau memasukkan hadis ini ke dalam kitab tersebut. Jilid 2 , m/s 114. 

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar. Beliau telah mengarang satu kitab yang berjudul "Tabyiinul Ajbi Bima Warada Fi Fadhli Rajabi"- (bererti menyatakan kehairanan dengan apa-apa (hadis) yang menyebut tentang fadhilat bulan rejab). Beliau memasukkan hadis ini dalam bukunya tersebut dan menyatakan bahawa hadis ini adalah palsu. 

4. Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Beliau juga telah menyatakan dalam kitabnya "al-Manarul Munif" bahawa hadis ini adalah palsu. m/s 95 


5. Ibnu Iraq al-Kinani, pengarang kitab "Tanzihus Syari'ah", satu kitab yang juga menghimpunkan hadis-hadis palsu. Beliau memasukkan hadis ini ke dalam kitab beliau, jilid 2, m/s 92. Imam as-Soghani juga menyatakan hadis ini adalah palsu. Ini adalah antara yang disebut oleh Syeikh Aqil dalam risalah tersebut.

Antara ulamak yang menganggap hadis ini palsu ialah Imam Al-Syaukani dalam kitabnya "Al-Fawaidul Majmu'ah". Kitab ini juga adalah kitab himpunan hadis-hadis palsu. Muhammad bin Basyir al-Azhari juga menyatakan dalam muqaddimah kitabnya “Tahzirul Muslimin” tentang kepalsuan kelebihan bulan rejab ini. Kitabnya juga adalah himpunan hadis-hadis palsu. Daripada pernyataan para ulamak hadis tadi, jelaslah kepada kita bahawa palsunya hadis tentang kelebihan bulan rejab. Berkata Al-Hafiz al-Iraqiy : "Dan tidak ada satu pun hadis yang sahih mengenai fadilat bulan rejab". 

Tetapi perlu diingatkan supaya janganlah kita sekali-kali berhenti beribadat dalam bulan rejab dengan sebab risalah ini, kerana itu adalah reaksi yang tidak bijak dan merugikan, sebaliknya yang perlu dihentikan hanyalah anggapan kita terhadap kelebihan bulan tersebut. Dan yang paling penting ialah janganlah kita sama-sama membuat atau menyebarkan pembohongan terhadap Rasululllah s.a.w.

Akhir sekali, saya sudahkan risalah ini dengan kata-kata Imam Nawawi: "Dan tidak ada satu hadis pun yang menunjukkan fadhilat berpuasa pada bulan rejab, dan tidak ada juga satu hadis yang melarangnya, tetapi asal hukum berpuasa adalah sunat, - yakni setiap masa –". Dan Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui.